Penyerang Berani Mati : Syahid Atau Bunuh Diri?

Kuala Lumpur – Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan sebarang fatwa berhubung tindakan penyerang berani mati atas nama jihad.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Abdul Shukor Husin.

Ketika ditanya pandangannya mengenai perkara itu, beliau menegaskan perbuatan berkenaan menyalahi ajaran Islam kerana tidak menepati kehendak syarak.

“Bagi mendapatkan mati syahid dalam berjihad seseorang itu perlu berada dalam situasi perang dan peperangan itu pula adalah dengan tujuan membela agama, bangsa dan tanahair.

“Bagi mereka yang bertindak meletupkan diri hingga mengorbankan orang lain tidak nampak unsur jihad yang membawa kepada syahid dan tindakan itu lebih kepada membunuh diri yang boleh membawa kepada kekufuran,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ahmad Tarmimi Maliki, 26 tahun yang bertindak meletupkan diri dengan kenderaan yang sarat dengan bahan letupan pada Mei lalu.

Selain meragut nyawanya, 25 orang anggota Pasukan Taktik dan Senjata Khas (SWAT) Iraq turut terkorban dalam serangan berkenaan.

Sementara itu, pendakwah bebas, Datuk Daud Che Ngah meminta alim ulamak di negara ini memberi kenyataan jelas terhadap perbuatan bunuh diri yang kononnya dilakukan atas nama jihad.

Beliau bimbang sekiranya dibiarkan, ia akan menimbulkan keraguan dan kemungkinan dimanipulasi untuk tujuan tertentu.

Katanya, Islam tidak pernah mengajar umatnya menzalimi diri sendiri mahupun orang lain sebaliknya mereka harus sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan diri agar dapat melaksanakan ibadah dan segala perintah Allah.

Jelas beliau, umat Islam perlu tahu perbezaan antara jihad dan bunuh diri.

“Tindakan mengebom diri seperti itu adalah satu tindakan sia-sia dan ia jelas menunjukkan satu perlakuan membunuh diri.

“Orang yang bertindak membunuh diri mereka itu mati dalam keadaan kesesatan dan akan diazab di hari akhirat.

“Kalau hendak diikutkan di negara seperti Iraq, rakyatnya banyak terlibat dengan syiah. Ajaran syiah pula terang-terang bercanggah dengan Islam ,” katanya.

Daud mengambil contoh kematian Imam Hassan al-Banna, di mana pemimpin gerakan Islam Ikhwanul Muslimin itu tidak bertindak mencederakan dirinya dalam menegakkan apa yang diperjuangkan sebaliknya dia syahid selepas dijatuhkan hukuman mati.

Situasi itu adalah berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Ahmad Tarmimi yang bertindak meletupkan dirinya dan tindakan itu dilihat menzalimi diri sendiri.

Ustaz Daud berkata, hanya mereka yang terlibat dalam peperangan bagi memperjuangkan Islam sahaja tergolong dalam golongan orang-orang yang mati syahid.

Katanya, kaedah itu juga tidaklah sampai menunjukkan seseorang itu sanggup untuk bertindak meletupkan diri sebaliknya mereka mati akibat berdepan dengan musuh seperti dibom atau serangan semasa pertempuran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.