Bayi Lelaki Ditemui Dalam Kotak Air Mineral

BACHOK: Seorang bayi lelaki dipercayai berusia kira-kira seminggu ditemui dalam sebuah kotak air mineral yang ditinggalkan di depan rumah kedai di Kampung Gajah Mati, Tawang di sini Sabtu.

Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok ASP Azmi Mokhtar berkata bayi itu ditemui pemilik rumah kedai berkenaan, Seman Salleh, 68, dan isterinya, Zuraini Abdul Wahab, 43.

“Ketika dijumpai pada kira-kira 5.30 pagi, bayi dengan tali pusat yang belum tertanggal itu sedang menangis sebelum dibawa masuk ke dalam rumah,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata bayi itu dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk pemeriksaan serta tindakan lanjut dan polis akan membuat semakan dengan klinik kesihatan di kawasan Bachok untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab meninggalkan bayi berkenaan.

Sementara itu, Seman berkata ketika ditemui bayi berkenaan menangis tidak henti-henti sebelum diberikan susu oleh isterinya.

“Apabila diberikan susu, dalam dua minit dia terus senyap. Ketika dijumpai, dia dalam keadaan menangis, muka ditutup dan dibungkus dengan tuala dalam kotak air mineral,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Tawang berhubung penemuan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.