KUALA LUMPUR- Seorang tokoh perniagaan bergelar Tan Sri disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Sapura Energy Bhd (SEB).
Memetik laporan BH, akhbar itu difahamkan individu berkenaan sudah hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam percakapan selama dua hari berturut-turut.
Bagaimanapun, sumber SPRM mengesahkan, tiada tangkapan dibuat setakat ini.
“Fokus siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu salah guna kuasa dalam isu membabitkan ganjaran yang meliputi gaji, bonus dan syer, selain ‘branding fee’ (yuran penjenamaan) dan amalan ‘private placement’ (penyenaraian persendirian) antara 2012 hingga 2021.
“Siasatan juga sedang mengenal pasti kesalahan pecah amanah, salah guna dana dan pemalsuan di bawah Kanun Keseksaan,” kata sumber itu pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan SPRM membuka dua kertas siasatan selepas menerima maklumat berhubung pembayaran rasuah dan penyelewengan membabitkan syarikat penyedia penyelesaian minyak dan gas, Sapura Energy Berhad.
Menurut sumber, ia berdasarkan siasatan awal dibuka SPRM pada penghujung 2023 yang turut membabitkan tuntutan-tuntutan dibuat syarikat berkenaan.
Dua kertas siasatan ini dibuka menjurus kepada kegiatan pengubahan wang haram dan penyelewengan melibatkan tuntutan-tuntutan sekitar 2018, ketika syarikat itu dikenali sebagai Sapura Kencana Petroleum Berhad.
Dalam pada itu akhbar berkenaan juga difahamkan, SPRM turut menggeledah beberapa lokasi termasuk di pejabat di Seri Kembangan dan sebuah menara di ibu negara, selain kediaman Tan Sri berkenaan.
SPRM juga sudah membekukan 83 akaun bank milik lima individu dan 15 syarikat membabitkan nilai kira-kira RM158.26 juta susulan siasatan sama.
Sapura Energy mula mengalami masalah kewangan sekitar pertengahan 2010-an apabila harga minyak jatuh menyebabkan syarikat itu mula mencatatkan kerugian besar dan bebanan hutang.
Menjelang 2019, masalah kewangan syarikat semakin memburuk, sehingga ia mula mencatatkan kerugian setiap tahun.
Sebelum ini Sapura Energy memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa syarikat itu telah menerima suntikan dana berjumlah RM1.1 bilion daripada Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) – sebuah syarikat khas di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Pelaburan ini hanya boleh digunakan untuk membayar hutang syarikat minyak dan gas itu kepada 2,000 vendor.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Sapura Energy telah melakukan rombakan besar dalam kepimpinan tertingginya sebagai salah satu syarat utama sebelum kerajaan menyalurkan RM1.1 bilion kepada syarikat yang bermasalah itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, menegaskan suntikan dana itu bukanlah satu bentuk penyelamatan syarikat itu serta pihak pengurusan tertingginya.