KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak dan pasukan pembelaanya menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Kerajaan Malaysia agar benar-benar serius dalam usaha mengekstradisi Tim Leissner dan menerbitkan satu kronologi lengkap tentang setiap langkah yang telah diambil.
Najib menuntut ketelusan penuh dari Putrajaya dan Washington kerana ia amat penting untuk menghapuskan keraguan rakyat dan membuktikan bahawa keadilan sedang dilaksanakan dengan saksama, bukan ikut selera politik.
Menurut kenyataan media peguamnya, Najib tetap bersedia untuk bekerjasama dalam sebarang usaha tulen bagi membawa Tim Leissner ke Mahkamah Malaysia demi membongkar kebenaran kepada seluruh negara.
“Laporan media semalam mendakwa bahawa Kerajaan Malaysia telah menghantar permintaan ekstradisi kepada Kerajaan Amerika Syarikat untuk membawa pulang bekas rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner, bagi peranannya dalam skandal 1MDB.
“Orang ramai pasti masih ingat bahawa pada 27 Oktober 2021, Najib telah membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta agar Tim Leissner diekstradisi ke Malaysia selepas dia mengaku bersalah memberi rasuah kepada pegawai 1MDB dan pegawai kerajaan.
“Pegawai penyiasat kes tersebut, Nur Aida Ariffin, yang juga saksi pendakwaan ke-49 dalam perbicaraan 1MDB, mengakui semasa soal balas bahawa beliau tidak tahu apa terjadi dengan laporan SPRM itu.
“Ketika Najib memberi keterangan pada 6 Disember 2024, beliau sekali lagi menegaskan ketiadaan tindakan susulan daripada agensi penguatkuasaan.
“Lebih membimbangkan, Peguam Negara telah menghantar permohonan ekstradisi sembilan bulan lalu namun tidak memaklumkan perkara ini kepada mahkamah, pasukan pembelaan atau rakyat Malaysia – dan hanya muncul sehari selepas Najib menutup kes pembelaannya,” kata kenyataan itu pada Khamis.
Menurutnya, keputusan untuk berdiam diri ini menimbulkan persoalan besar kerana maklumat tersebut mungkin penting untuk pembelaan, terutamanya jika ia dapat mendedahkan nama-nama pegawai yang menerima sogokan daripada Leissner, yang jelas boleh membantu membuktikan Najib tidak bersalah.
“Disebabkan ketiadaan tindakan oleh SPRM dan kerajaan Malaysia, Najib mengambil inisiatif sendiri pada tahun 2023 dengan memfailkan permohonan penemuan maklumat (di bawah 28 U.S.C. §1782) di Mahkamah Daerah Selatan New York untuk mengenal pasti pegawai 1MDB dan kerajaan yang dimaksudkan oleh Leissner. Namun, atas permintaan Kerajaan AS, permohonan itu ditangguhkan kerana maklumat tersebut boleh mengganggu perbicaraan Roger Ng ketika itu.
“Pada Februari 2025, Najib memohon untuk membuka semula prosiding penemuan maklumat itu, tetapi hakim di AS menolak permohonan tersebut dengan alasan ia boleh menjejaskan hak Leissner di bawah Pindaan Kelima Perlembagaan AS dan membebankan beliau yang sedang menunggu hukuman,” katanya.