KUALA LUMPUR – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terkejut dan menzahirkan dukacita terhadap aktiviti pencerobohan 10, 600 hektar tanah di daerah ini dengan penanaman durian secara haram.
Baginda menyifatkan jumlah tersebut sebagai satu angka yang sangat besar sekali gus menunjukkan isu pencerobohan tanah secara haram yang semakin berleluasa di negeri ini tidak boleh dipandang ringan.
“Setelah mendengar taklimat daripada penguat kuasa negeri, saya begitu terkejut dengan angka yang dikeluarkan (iaitu) 26,000 ekar (10,600 hektar) di daerah Raub sahaja dan ini adalah satu angka yang sangat besar.
“Namun tindakan seterusnya perlu dibuat dan saya harap semua pihak harus bekerjasama kerana kita tidak boleh membiarkan amalan aktiviti haram ini diteruskan,” titah baginda selepas berkenan berangkat bercemar duli meninjau kawasan penerokaan durian Musang King di Hutan Simpan Sungai Klau, di sini hari ini.
Berangkat sama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, lapor Utusan di Raub pada Khamis.
Sultan Abdullah bertitah, isu pencerobohan tanah haram perlu dinoktahkan dan diselesaikan secara baik mengikut lunas undang-undang.
Titah baginda, mana-mana pihak yang hendak memiliki tanah perlu membuat permohonan secara rasmi melalui proses-proses yang ditentukan oleh kerajaan.
“Kalau (pencerobohan tanah) ini dibiarkan seolah-olah kita tidak ada pihak penguat kuasa, tidak ada pejabat hutan, tidak ada pejabat tanah, tidak ada pejabat MB (Menteri Besar) dan sebagainya.
“Kita boleh berusaha untuk menoktahkan perkara ini secara berperingkat-peringkat. Tak boleh buat secara mengejut dan sekali gus (kerana) itu mungkin susah sikit,” titah baginda.