PM Umum Cuti Tambahan 2 Hari, Pengecualian Cukai Orang Muda Jika BN Menang Esok

PEKAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan golongan muda berusia bawah 26 tahun yang bekerja akan diberikan pengecualian cukai pendapatan sepenuhnya jika Barisan Nasional (BN) kembali diberi mandat mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) esok.

Beliau yang juga Pengerusi BN turut mengumumkan tiada sebarang bayaran tol akan dikenakan pada Hari Raya Aidilfitri nanti, bagi tempoh selama lima hari.

“Dua hari sebelum raya dan pada hari raya pertama hingga ketiga,” kata Najib.

Bagi pengecualian cukai , Najib berkata, ia bermula bagi tahun taksiran 2017 dan tahun-tahun berikutnya dengan serta merta.

“Ini bermakna orang muda yang bekerja yang berusia 26 tahun ke bawah, tidak kira banyak mana pendapatan mereka tidak perlu membayar cukai.

“Saya tahu orang muda memerlukan wang yang mencukupi untuk pelbagai tujuan seperti membeli kereta, sewa rumah dan memberi wang kepada ibu bapa.

“Jadi sebagai sebuah kerajaan BN begitu prihatin, maka pertama kali dalam sejarah Malaysia, mereka berusia 26 tahun ke bawah tidak perlu membayar cukai.

“Pengumuman ini bermakna cukai yang dibayar tahun sudah (lepas) pun akan dikembalikan semula kepada mereka,” katanya.

Najib turut mencadangkan 13 dan 14 Mei ini sebagai cuti peristiwa sekiranya BN kembali mendapat mandat.

Perdana Menteri berkata, ia sebagai menghargai penat lelah jentera PRU-14 sama ada daripada BN mahupun pembangkang dan seluruh rakyat Malaysia.

“PRU-14 jatuh antara bulan-bulan istimewa di sisi Islam dan paling hampir Ramadan bakal muncul tidak lama lagi.

“Saya harap dengan cuti dua hari berturut-turut itu semua rakyat Malaysia terutama umat Islam dapat membuat persiapan berpuasa bersama keluarga tersayang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena PRU-14 di pekarangan kediamannya di Sri Kenangan, di sini malam ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.