Neelofa Sudah Lali Dikritik Netizen

PENGACARA, Neelofa menerima kritikan hebat netizen gara-gara menyarung persalinan bersaiz besar dilengkapi beg pinggang (pouch beg) bersama turban pada pelancaran koleksi itu di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Susulan perkara itu, Neelofa dengan tenang mengakui dia sudah lali dengan apa saja komen dan cemuhan negatif netizen yang dianggap sebagai perkara yang datang dan pergi.

Malah menurutnya, ia bukan kali pertama fesyen digayakan mendapat kritikan netizen dan berasa lebih selesa enggan mengambil pusing mengenai perkara tersebut.

Menurut Neelofa, beliau amat menyukai busana tersebut dan berasa bangga kerana dapat menggayakan persalinan sebuah label terkemuka yang digayakan di pertunjukan fesyen peringkat antarabangsa.

“Terus terang saya katakan, saya suka persalinan itu. Pernahkah saya peduli dengan apa orang cakap? Kritikan mereka tidak sedikitpun menjejaskan saya.

“Ini bukan kali pertama saya dikutuk, malah sudah lali. Saya bangga memperagakan persalinan itu dan rasa lucu apabila ada yang bercakap, saya menjadi mangsa fesyen,” katanya dipetik BH Online.

Ujar pengacara wanita tersebut lagi, fesyen yang digayakan itu sebenarnya sudah menjadi trend dan aliran untuk musim 2018 di Eropah.

Biarpun ada pihak yang tidak menggemari fesyen berkenaan, pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor itu bagaimanapun mengakui tidak janggal menyarung persalinan tersebut.

“Tahun ini, aliran fesyen lebih tertumpu kepada konsep ‘cover up‘. Kalau kita lihat, perkembangan fesyen di Eropah sudah ke arah itu.

“Jadi, apabila saya diberi peluang untuk menggayakan persalinan itu, semestinya saya suka. Orang tidak faham dan mereka hanya tahu mengkritik dan mengecam.

“Sebagai seorang sentiasa didedahkan dengan fesyen yang menutup ini, patut berasa bangga. Saya tidak salahkan mereka, cuma mungkin mereka kurang arif kerana fesyen itu sangat subjektif,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai isu suplemen yang dikatakan sesuai untuk bayi dan kanak-kanak yang dipromosi di laman Instagramnya, Neelofa menjelaskan ia berlaku kerana salah faham.

Pada masa sama, Neelofa juga mengakui kesilapan itu berpunca daripada tindakannya menyalin kenyataan daripada laman sesawang yang salah.

“Saya membuatnya atas kerelaan diri dan bukan kerana termaktub dengan kontrak produk itu. Saya ke laman sesawang produk itu dan menyalin kenyataan yang terdapat di situ. Rupa-rupanya, itu bukan laman sesawang rasminya.

“Apabila jadi begini, orang ingat produk itu untuk memutihkan kulit, sebaliknya ia lebih kepada masalah ekzema. Tidak ada sebab saya melatah kerana dikecam dan dikritik.

“Lebih baik saya berdiam diri. Selepas lama berdiam, saya rasa ini masanya untuk tampil memberikan penjelasan dan memperbetulkan salah faham ini,” jelas Neelofa. – MYNEWSHUB.CC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.