Rakyat Setuju Jika Pelaburan Tabung Haji Di TRX Menguntungkan

KUALA LUMPUR – Rakyat tidak akan risau sekiranya Tabung Haji (TH) dapat menjamin pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta untuk tujuan pelaburan di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) tidak mendatangkan sebarang kerugian.

 

Itu adalah sentimen umum yang diutarakan apabila Astro AWANI membuat peninjauan untuk mendapatkan reaksi daripada orang ramai tentang isu kontroversi pelaburan Tabung Haji dalam pembelian tanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

“Jika pihak TH mengetahui akan pelaburan itu menguntungkan , pada saya satu yang baiklah tetapi sekiranya pihak TH sendiri kurang pasti saya rasa sesuatu yang merugikan dan tidak baiklah.

 

“Itu adalah amanah daripada orang-orang yang hendak melabur untuk pergi ke tanah suci Mekkah,” kata Hudori Muhamed, 42 yang telah pergi ke Umrah sebanyak dua kali.

 

Terdahulu, laman blog The Benchmark serta beberapa blog lain telah memuat naik beberapa dokumen yang memaparkan Tabung Haji telah membeli dua plot tanah di TRX pada harga RM772 juta, menggunakan wang pendeposit yang disimpan dalam syarikat berkenaan dan bukannya wang kerajaan.

 

Perkara ini telah mencetuskan kontroversi dengan beberapa pihak mengetengahkan bahawa langkah Tabung Haji adalah untuk menebus sebahagian hutang 1MDB yang bernilai RM42 bilion.

 

Seorang jurutera, Mohd Hasif, 29 berkata beliau kurang percaya dengan hal-hal yang melibatkan 1MDB setelah banyak persoalan yang masih belum dapat dirungkaikan lagi dan keputusan TH untuk membuat pelaburan sedemikian tidak wajar.

 

Manakala, pengurus operasi Nazira Zaharudin, 27 yang sudah mendepositkan wang selama hampir enam tahun berkata, “Saya rasa sebenarnya perkara ini kurang selamat.

 

“Tapi kalau kita dapat jaminan daripada TH sendiri yang mengatakan kita akan dapat pulangan saya rasa lagi eloklah.”

 

Dalam pada itu, membidas dakwaan-dakwaan, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk  Johan Abdullah berkata pembelian tanah itu bukanlah satu langkah ‘bailout’ untuk 1MDB.

 

Keputusan pelaburan itu dibuat selepas melihat kepada unjuran pulangan sebanyak 27 peratus dalam tempoh tiga tahun, kata Ketua Pegawai Eksekutif TH itu lagi sepertimana dipetik portal The New Straits Times Online.

 

Semalam TH telah membuat laporan polis berhubung ‘pembocoran’ dokumen Tabung Haji dalam urusan pembelian tanah di pusat kewangan TRX.

 

Laporan yang dibuat oleh Johan di Balai Polis Dang Wangi itu antara lain menyatakan blog ‘The Benchmark’ didakwa memanipulasi fakta berkaitan pelaburan yang dilaksanakan TH untuk pembelian tanah di TRX. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.