Polis Kelantan Gempur ‘Port’ Penagih Dadah, Ibu & Anak Perempuan Ditangkap

MACHANG – Seramai 57  penagih dadah  termasuk seorang ibu  dan anak perempuannya berusia 17 tahun  ditahan  dalam Ops Lejang Khas di Kampung Raja, di sini, semalam.

 

Selain anak perempuan berusia 17 tahun itu, ibu terbabit turut membawa seorang lagi anak perempuannya berusia dua tahun untuk  melepaskan gian di port tersebut.

 

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Loo  Lian Lay berkata, keluarga tersebut ditahan di port tersebut pada  serbuan bermula jam 12.45 tengahari hingga 1.30 petang  bersama seorang wanita dan tujuh lelaki yang lain.

 

Manakala, katanya,  47 yang lain ditahan ketika cuba memasuki kawasan tersebut bagi mendapatkan bekalan dadah antara jam 1.30 petang hingga 5.50 petang.

 

“Ujian saringan awal mendapati  56 yang ditahan  termasuk empat wanita itu didapati positif dadah jenis opiat manakala seorang lelaki disahkan positif dadah jenis  methamphetamine.

 

“Ibu dan anak perempuannya ditangkap ketika pasukan polis  membuat serbuan di kawasan port tersebut.

 

“Pada mulanya mereka cuba lari namun berjaya ditangkap selepas kejar mengejar berlaku.  Kesemua penagih dadah perempuan itu juga tersenarai sebagai orang yang dikehendaki polis atas pelbagai  kesalahan jenayah di dalam dan luar daerah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

 

Lian Lay berkata,  semasa tangkapan, pihaknya turut menemui beberapa senjata tajam pada dua lelaki  selain 20 daripada penagih itu gagal mengemukakan  pengenalan diri.

 

“Polis turut merampas 46 buah motosikal pelbagai jenis dan kenderaan lain  yang digunakan penagih tersebut  untuk diperiksa. 10 biji pil kemerahan disyaki dadah turut dirampas.

 

“Kesemua suspek akan ditahan reman bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan dan pendakwaan. Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983; Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 (ABKLSB) dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.