Suhu Politik Terengganu Semakin Mendidih

 

NAMA Adun Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman kembali panas apabila beliau sekali lagi dikaitkan bakal mengambil alih jawatan Menteri Besar Terengganu, seperti mana desas-desus yang bertebaran sebelum ini.

Isu pertukaran pemimpin utama negeri ini dilihat sedikit mencalarkan sambutan genap setahun pentadbiran BN yang mentadbir Terengganu Isnin lalu, yang berjaya mempertahankan kemenangan dalam PRU13 5 Mei tahun lalu, sekali gus menyaksikan politik negeri ini kembali bergelora.

Kemenangan tipis BN dengan kedudukan kerusi 17-15 turut didakwa antara faktor penyebab Datuk Seri Ahmad Said menjadi sasaran, ditambah pula dengan wujud kumpulan tertentu dalam parti berkenaan hingga mengakibatkan berlaku perpecahan dalam kalangan ahli Umno itu sendiri.

Walaupun Ahmad Razif telah beberapa kali menafikan hal berkenaan, namun namanya sekali lagi menjadi perhatian apabila laporan sebuah akhbar Bahasa Inggeris tempatan semalam, mendedahkan mengenai sumber daripada Putrajaya yang mengatakan wakil rakyat itu diminta untuk bersedia bagi menggantikan kepimpinan utama negeri ini.

Isu berkait pertukaran Menteri Besar Terengganu telah beberapa kali hangat diperkatakan sejak tahun lalu, namun kembali ‘tenang’ setelah ia dinafikan sekeras-kerasnya pelbagai pihak termasuk baru-baru ini, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengatakan tiada perancangan ke arah itu (membabitkan pertukaran Menteri Besar).

Bagaimanapun, penjelasan daripada pemimpin utama negara nyata belum mampu meredakan isu tersebut apabila nama Ahmad Razif yang telah dua penggal memimpin Dun Seberang Takir terus hebat dicanang pelbagai pihak sebagai pengganti Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ketika ini.

Namun, laporan akhbar berbahasa Inggeris itu seakan mengiyakan perkara tersebut (pertukaran Menteri Besar) apabila Ahmad Razif difahamkan membatalkan kehadiran beliau dalam Majlis Penyerahan Jersi Kejohanan Bola Sepak Adun Seberang Takir yang diadakan di Dataran Permata, Kampung Baru Seberang Takir, malam semalam, secara tiba-tiba atas sebab tidak diketahui.

Berdasarkan sumber terdekat dengan anak jati Seberang Takir itu, pihak media dimaklumkan beliau terpaksa ke Kuala Lumpur dan dijangka menaiki penerbangan pada jam 4.15 petang semalam, namun sehingga jam 5.30 petang, beliau tidak muncul.

Ahmad Razif bagaimanapun dipercayai menggunakan jalan darat untuk ke Kuala Lumpur bagi mengelak bertemu media yang berkumpul di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).

Turut difahamkan, tujuan beliau ke ibu negara adalah untuk menemui pucuk pimpinan utama parti berkait pertukaran Menteri Besar yang dikhabarkan bakal dibuat pada 15 Mei ini, seperti mana yang diperkatakan ramai pihak sebelum ini.

Ahmad Razif yang merupakan satu-satunya wakil rakyat BN yang berjaya mempertahankan kerusi dalam PRU13 lalu di Parlimen Kuala Nerus dikatakan antara nama yang disenarai pendek sebagai Menteri Besar yang baharu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.