Perodua Nafi Nama Untuk Model Terbaharu, Axia

RAWANG – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) menafikan akan menggunakan nama Axia bagi model terbaru keluarannya yang dijangka dilancarkan antara Julai hingga Disember tahun ini.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh juga menafikan ia adalah model gantian kepada model Perodua Viva sebaliknya model baru ini masih belum diberikan nama.

“Axia bukan satu-satunya nama yang kita senaraikan untuk model ini tetapi mungkin ramai yang suka dengan nama itu sedangkan kita hantar banyak nama lain lagi.

“Tetapi kita masih belum putuskan apa nama yang akan digunakan namun semua proses berjalan mengikut jadual, kita tunggu pengumumannya nanti,” kata Aminar Rashid.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas Majlis Perlancaran Pusat Alat Gantian Baru hari ini.

Pada majlis yang sama, Perodua melancarkan rekabentuk terbaru bagi produk enjin minyak pelincir dan penyejuk radiator.

Media sosial sebelum ini mendedahkan model terbaru Perodua telah dinamakan sebagai Axia dan telah didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia Mac lalu.

Dalam pada itu, pusat alat gantian baru Perodua ini mempunyai keluasan 13,800 meter persegi dan 44 peratus lebih luas daripada pusat sedia ada.

Ia dibina dengan kos sebanyak RM28.2 juta.

Dengan pelancaran itu Perodua mensasarkan hasil jualan alat ganti sebanyak RM250 juta pada tahun ini, dan pertambahan 4 hingga 5 peratus pada tahun hadapan.

“Perodua percaya terdapat ruang untuk kita meningkatkan perkhidmatan selepas tiga tahun jaminan kenderaan pelanggan kerana setakat ini hanya 29 peratus daripada pelanggan masih menggunakan khidmat Perodua.

“Kita akan meningkatkan jumlah tersebut setiap tahun dan jika mereka kembali kepada kita maka keperluan alat ganti diperlukan dan bertambah,” katanya.

Sepanjang tiga tahun lalu, Perodua telah mencatatkan pertumbuhan positif dengan purata 42.8% bagi nila eksport alat gantian kenderaan keluarannya.

Menurut Aminar ia satu pencapaian bagi perodua kerana penjenamaan pelincir enjin berkenaan membolehkan syarikatnya kepelbagaian produk kepada pengguna selain kenderaan.

Dengan lebih 2.4 juta kenderaan terjual sejak taun 1994, permintaan terhadap aksesori dan juga alat ganti Perodua turut meningkat.

Selain memenuhi keperluan tempatan, Perodua juga telah mengeksport alat gantinya ke sembilan buah negara luar seperti United Kingdom, Mauritius, Nepal, Singapura dan juga Indonesia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.