Penculik Rakyat China Fasih Cakap Melayu

Lahad Datu: Dua lelaki bersenjata dan berpakaian celoreng yang menculik pengurus syarikat ternakan ikan sangkar warga China di Pulau Baik, Silam, kelmarin dikatakan fasih berbahasa Melayu.

Pekerja warga Indonesia dikenali sebagai Nus, 22, berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri rakannya yang menyaksikan majikan mereka Yang Zai Lin, 34, dilarikan dengan sebuah bot yang turut dinaiki tiga lelaki lain.
“Bot penculik dipercayai muncul dari arah belakang dan disedari beberapa pekerja yang menginap di rumah rakit berhampiran.

“Ketika kejadian, semua pekerja sedang tidur dan saya hanya dimaklumkan kejadian itu sebaik terjaga daripada tidur, kira-kira dua jam kemudian,” katanya ketika ditemui, semalam.
Terdahulu, sekumpulan media dibawa menaiki bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk meninjau lokasi kejadian.
Nus dari Flores, Indonesia berkata, rakannya memberitahu kumpulan penculik itu fasih berbahasa Melayu.

“Memang tidak sangka majikan saya menjadi mangsa kerana dia (Yang) sangat baik dan sering mengambil berat kebajikan pekerja.
“Dia (majikan) sudah menjalankan perniagaan ikan sangkar ini sejak lapan tahun lalu,” katanya.

Katanya, pusat itu menternak lima spesies ikan bernilai tinggi sebelum dieksport ke Hong Kong dengan anggaran berat 80 tan metrik setahun.
Menurut Nus, meskipun berlaku kejadian penculikan, operasi penternakan ikan tetap berjalan seperti biasa.
Dalam kejadian jam 2.45 pagi kelmarin, kumpulan lima lelaki termasuk dua yang bersenjata M-16 menceroboh kawasan penternakan ikan berkenaan lalu menerjah masuk sebuah bilik didiami seorang pekerja wanita.
Kumpulan berkenaan kemudian menangkap Yang yang kebetulan keluar dari biliknya untuk meninjau kejadian yang perkara sebelum dilarikan dengan sebuah bot.
Ketika dalam perjalanan ke sempadan perairan negara, kumpulan berkenaan dikatakan terserempak dengan bot anggota Pasukan Polis Marin (PPM) sebelum berlaku tembak-menembak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.