Filipina-Gudang Senjata Meletup 24 Cedera

MANILA 7 Mei – Sebanyak 24 orang cedera apabila beberapa siri letupan dan kebakaran berlaku di sebuah gudang simpanan senjata tentera Filipina di Taguig City, timur ibu negara ini, hari ini.

Rakaman video televisyen tempatan memaparkan beberapa anggota tentera berpakaian baju awam mengusung rakan-rakan mereka yang cedera keluar dari sebuah bangunan yang terbakar serta diselubungi asap.

Beberapa orang lagi mangsa, dilihat duduk di kaki lima menunggu bantuan perubatan.

“Saya berada beberapa meter dari lokasi kejadian ketika kebakaran berlaku. Api turut mecetuskan satu letupan kuat,” kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel, Noel Detoyato.

Seorang doktor perubatan, Kolonel Rovelene Bambao berkata, semua mangsa yang cedera dirawat di sebuah hospital tentera berdekatan.

Katanya, enam yang cedera parah termasuk seorang orang awam, kemudian dibawa ke hospital lain.

Detoyato berkata, lapan anggota tentera, tujuh anggota bomba dan seorang orang awam merupakan antara mereka yang cedera. Identiti tujuh yang lain masih tidak diketahui.

Tambahnya, punca kebakaran itu masih dalam siasatan. Kebakaran turut menyebabkan beberapa letupan meletus.

Jelas Detoyato, pihaknya juga telah mengarahkan bangunan-bangunan pejabat serta premis perniagaan berhampiran dikosongkan kerana letupan dibimbangi boleh berlaku lagi. – AFP

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.