Budak Maut Dihempap Rumah

KAMUNTING – Seorang kanak-kanak lelaki maut dihempap struktur rumah yang roboh akibat pokok tumbang dalam kejadian ribut di Perumahan Awam Batu 4, di sini, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Penolong Penguasa Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.30 petang, sebuah jentera dengan kekuatan seramai enam anggota telah dikejar ke tempat kejadian.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, kita dapati sebatang pokok besar telah tumbang dan menghempap ruang hadapan rumah separuh kekal itu.

“Mangsa, S Lingiswaran, 4, ditemui dalam keadaan duduk di atas katil bilik utama rumah berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Taufiq berkata, anggota bomba segera melakukan kerja-kerja memotong pokok besar itu dan mengalihkannya bagi menyelamatkan mangsa.

“Kita berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira 15 minit kemudian dalam keadaan tidak sedarkan diri walaupun tidak mengalami sebarang pendarahan bahagian luaran sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan dari Hospital Taiping untuk memberikan bantuan pernafasan.

“Namun pada jam 4.20 petang, kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa di bawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

“Difahamkan ketika kejadian, mangsa hanya berseorangan di dalam bilik dan lima ahli keluarga yang lain tidak sempat menyelamatkan mangsa,” katanya.

Mohd Taufiq berkata, sehingga kini kerja-kerja mengalihkan sisa pokok berkenaan dan membersihkan kawasan terjejas masih giat dijalankan.

“Ini kerana di kawasan perumahan ini terdapat beberapa rumah lagi yang terlibat dengan kejadian ribut dan pokok tumbang.

“Dijangka kerja-kerja pembersihan akan dilakukan sehingga lewat malam ini (semalam),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.