27 Pati Dicekup Ketika Mendarat

JOHOR BAHARU: Polis Marin Wilayah Dua menahan 27 pendatang tanpa izin di Pantai Ladang Kurnia Batu Layar, Sungai Rengit, Kota Tinggi dalam satu operasi awal Khamis ketika cuba masuk ke negara ini secara haram.

Komandernya ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata dua daripada mereka ialah warga Bangladesh manakala selebihnya warga Indonesia, berumur antara tiga hingga 53 tahun.

Pendatang asing itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 5.30 pagi oleh sepasukan lima anggota polis marin selepas dipercayai baru mendarat menggunakan bot pancung di kawasan Pantai Ladang Kurnia, katanya.

Ketika serbuan, beberapa orang daripada pendatang asing itu berjaya melepaskan diri manakala yang selebihnya ditangkap, kata Khiu.

“Pemeriksaan mendapati kesemua pendatang asing itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak sah,” katanya.

Khiu berkata kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sungai Rengit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.