WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menegaskan beliau tidak merancang untuk menghentikan pengenaan tarif ke atas negara-negara perdagangan, pada Isnin.
Sebaliknya akan meneruskan rundingan dengan China, Jepun dan beberapa negara lain berhubung dasar tarif sedia ada.
Ketika ditanya semasa sidang media di White House sama ada beliau bersedia mempertimbangkan penangguhan terhadap tarif yang menjejaskan ekonomi global, Trump berkata, pihaknya tidak melihat ke arah itu.
Bagaimanapun beliau berkata banyak negara sedang datang untuk merundingkan perjanjian dengan AS dan perjanjian itu akan lebih adil.
Namun katanya, dalam beberapa kes beberapa negara akan membayar tarif yang besar dan ia akan menjadi perjanjian yang adil.
Trump turut mengulangi ancamannya untuk menambah tarif sebanyak 50 peratus terhadap barangan import dari China sekiranya negara itu tidak menarik balik cadangan untuk mengenakan tarif 34 peratus ke atas barangan dari AS.
Trump menegaskan, beliau tetap terbuka untuk berunding sekiranya wujud “perjanjian yang benar-benar adil dan baik untuk AS”.
Presiden AS itu juga menambah bahawa adalah mungkin untuk mencapai perjanjian menerusi rundingan sambil mengekalkan tarif secara tetap ke atas beberapa negara.
Trump kini berdepan tekanan semakin meningkat daripada pasaran kewangan dan pemimpin perniagaan untuk menarik balik pendekatan kerasnya terhadap tarif, namun setakat ini beliau masih berpegang teguh kepada dasar tersebut.
Dalam pada itu, White House mengumumkan bahawa Trump akan menggunakan kuasa veto terhadap Rang Undang-Undang Senat yang mewajibkan kelulusan Kongres bagi sebarang tarif baharu, lapor Astro Awani.
Langkah itu dilihat sebagai taruhan bahawa majoriti ahli Kongres dari Parti Republikan akan terus menyokong dasar cukai import beliau, walaupun mencetuskan ketidaktentuan politik dan ekonomi.