Tiada Bukti Langsung Najib Arah Pemindahan Dana 1MDB – Bekas Pegawai Penyiasat

- Advertisement -

PUTRAJAYA, 8 April – Seorang saksi pembelaan dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Razak hari ini menyatakan bahawa tiada bukti jelas ditemui yang mengaitkan bekas Perdana Menteri itu secara langsung dengan pemindahan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk tujuan peribadi.

Bekas pegawai penyiasat kanan 1MDB, Senior Asisten Komisioner R Rajagopal, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa siasatannya tidak menunjukkan sebarang arahan terus daripada Najib kepada Lembaga Pengarah 1MDB untuk melakukan sebarang tindakan yang menyimpang daripada kepentingan syarikat.

“Saya tidak mendapat bukti langsung bahawa Najib selaku pemegang saham tunggal 1MDB, mengarahkan Lembaga Pengarah untuk bertindak dengan cara yang tidak sepatutnya,” katanya dalam pemeriksaan semula oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Menurut Rajagopal, walaupun wujud pemindahan dana yang mencurigakan, semua transaksi telah melalui proses dalaman syarikat berdasarkan struktur pentadbiran seperti yang ditetapkan dalam Memorandum & Artikel (M&A) 1MDB, yang memerlukan kelulusan Lembaga Pengarah dan pemegang saham.

“Bukti langsung yang menunjukkan Najib mengarahkan ke mana wang itu (disalurkan), saya tidak menjumpainya,” katanya sambil menjelaskan bahawa tindakan kewangan syarikat dilakukan berdasarkan sistem kelulusan dalaman.

Rajagopal turut menambah bahawa siasatan yang dikendalikannya antara tahun 2015 hingga 2018 memfokuskan kepada pengurusan dan Lembaga Pengarah syarikat, bukan terhadap Najib sendiri.

Beliau turut merujuk kepada laporan polis yang dibuat oleh Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pada Disember 2014, yang menjadi titik mula siasatan terhadap 1MDB. Menurutnya, laporan itu tidak menamakan mana-mana individu secara khusus.

“Setakat yang saya ingat, laporan polis itu tidak menyasarkan mana-mana individu, sebaliknya membangkitkan antara 11 dan 13 isu yang beliau mahu pihak berkuasa siasat,” katanya.

Najib kini berhadapan empat pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama. Perbicaraan diteruskan esok di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat