Orang Muda Untung Bawah BN, Rugi Dalam Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Pengumuman manifesto Barisan Nasional (BN) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi membuktikan komitmen parti tersebut untuk terus memperkasa golongan belia di negara ini.

Berbanding Pakatan Harapan diketuai DAP, manifesto BN ternyata lebih mesra orang muda dengan pelbagai inisiatif menarik disediakan untuk golongan tersebut. Berikut perbandingan berdasar topik utama:

1. Perumahan

BN berjanji untuk menambah jumlah Rumah Transit Belia 1Malaysia kepada belia yang baru bekerja dan menyediakan insentif bagi menggalakkan bank dan pemaju perumahan untuk menawarkan skim sewa-untuk-beli yang mampu menambah peluang golongan muda untuk memiliki rumah sendiri.

Berbanding Pakatan Harapan, pelan mereka tidak jelas kerana hanya berniat mahu mencapai kata sepakat dengan bank komersial tanpa sebarang kaedah yang jelas untuk mencapai matlamat tersebut.

2. Peluang Pekerjaan

Berbeza dengan Pakatan Harapan yang hanya menjanjikan sejuta peluang pekerjaan tanpa sebarang pelan spesifik untuk mencapai jumlah tersebut, BN berjanji akan menyediakan tiga juta peluang pekerjaan melalui pelaksanaan projek-projek seperti Malaysian Vision Valley yang menjanjikan 1.3 juta pekerjaan, program Apprenticeship Malaysia dan TVET Bootcamp.

3. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)

Walaupun pernah melabel bantuan tunai ini sebagai ‘dedak’, Pakatan Harapan membuat pusingan U dengan meneruskan pemberiannya. Namun begitu, mereka tidak menawarkan sebarang penambahbaikan terhadap BR1M yang membuatkan mereka jauh ketinggalan berbanding BN.

Selain menambah jumlah pemberian dan kategori penerima, BN turut menjanjikan pemberian secara sekali beri sebanyak RM1,500 kepada anak-anak penerima BR1M yang melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi.

4. Pendidikan

Selain daripada janji populis mahu memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Pakatan Harapan juga tidak menawarkan pembaharuan dalam sistem pendidikan untuk menghadapi arus Revolusi Industri 4.0. Hal ini ternyata berbeza dengan BN yang lebih terkehadapan dengan janji mentransformasi infrastruktur di universiti awam untuk kampus bestari dan melahirkan lima juta pelajar sekolah dengan kemahiran digital Revolusi Industri 4.0.

5. Peluang Keusahawanan

Menyedari perkembangan bidang keusahawanan yang menjanjikan pendapatan lumayan, BN menawarkan pelbagai inisiatif untuk membuka lebih banyak peluang buat golongan muda untuk menceburi bidang keusahawanan melalui program seperti PlatCOM, perniagaan trak makanan, geran permulaan dana pembangunan teknologi, dan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan dalam keusahawanan sosial.

Berbeza dengan Pakatan Harapan, tiada pelan untuk meningkatkan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan yang jelas ada ditawarkan.

6. Kemudahan pengangkutan awam

Mengambil contoh negara-negara maju, BN sedar sistem pengangkutan awam yang efisien dan murah adalah penting, terutamanya bagi golongan muda. Oleh itu, BN menawarkan kemudahan Pas Pengangkutan Awam TN50 yang berharga antara RM50-RM150 untuk pelajar, belia bekerja, warga emas dan OKU selain daripada meneruskan pelbagai projek pengangkutan awam yang sedang dalam perancangan dan pembinaan.

Pakatan Harapan pula semakin terkebelakang apabila mahu membatalkan projek ECRL yang mampu memanfaatkan pelbagai lapisan masyarakat. -Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.