Ulat Sampah Dalam Lauk Ayam Pedas Di Kantin Sekolah

KUALA LUMPUR – Hampir 30 murid perempuan di sebuah sekolah kebangsaan di sini, mengalami keracunan makanan selepas menjamah nasi lauk ayam pedas di kantin sekolah terbabit, pagi kelmarin.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, kesemua pelajar terbabit mengadu sakit perut, loya dan turut muntah, sehingga terpaksa berulang ke tandas selepas waktu rehat. Ekoran keadaan mereka itu, kesemua pelajar terlibat dibawa ke klinik kesihatan Wakaf Che Yeh untuk rawatan lanjut.

 

Murid tahun enam, Nurul Eimie Shafiqah Mohd Hoiri, 12, berkata, ketika sesi waktu rehat kira-kira jam 10.30 pagi, dia membeli nasi putih dengan lauk ayam pedas.

 

“Ketika saya suap nasi ke mulut, nasi dan lauk itu dalam keadaan sejuk seperti baru dikeluarkan dari peti ais. Pada mulanya, saya tidak rasa kelainan dalam lauk itu sehinggalah saya nampak ulat sampah di dalam isi ayam terbabit.

 

“Memang saya terkejut kerana saya dah pun makan hampir nasi separuh pinggan, namun saya hanya diamkan sahaja sehinggalah saya mengalami sakit perut kira-kira jam 11 pagi ketika berada di dalam kelas,” katanya kepada pemberita.

 

Menurutnya, dia terpaksa berulang ke tandas kerana perutnya memulas dan kemudiannya dibawa ke bilik sakit bersama beberapa rakannya yang lain.

 

“Dalam bilik itu, saya lihat ramai yang mengalami sakit perut dan guru membawa kami semua mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh.

“Ketika di klinik, kami diberikan ubat tahan muntah dan loya dan selepas itu, kami dibawa semula ke sekolah sebelum ibu bapa mengambil kami pulang ke rumah,” katanya.

 

Sementara itu, rakannya, Aisyatul Azizah Ahmadi, 12, berkata, dia turut makan nasi ayam pedas dan roti sambal ikan bilis.

 

“Lepas makan saya mula rasa loya dan muntah-muntah dan terus lapor pada cikgu.

 

“Sebelum itu, ada kawan saya nampak dalam ayam itu ada ulat sampah dan dia terus berhenti serta pergi ke bilik air,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, makanan itu disediakan pengusaha kantin sejak jam 5 pagi dan hanya dihidangkan kepada murid pada waktu rehat sekitar jam 9.45 pagi sehingga jam 10.45 pagi.

 

“Dari siasatan dijalankan di klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh terhadap murid terlibat, hampir kesemua mereka yang dirawat mengalami simptom muntah, loya, sakit perut serta cirit-birit.

 

“Bagaimanapun, mereka dilaporkan stabil dan hanya mengalami gejala ringan serta dirawat sebagai pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

 

Ahmad Razin berkata, makanan terbabit (ayam pedas) disyaki dijangkiti bakteria makanan jenis Bacillus Cereus Gastroenteritis.

 

“Buat masa ini kita masih menjalankan siasatan dan akan menunggu laporan selanjutnya,” katanya.

 

Dalam perkembangan kes itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Kelantan, Jaafar Ismail turut mengadakan lawatan ke sekolah terbabit semalam.

 

Jaafar berkata, ekoran kejadian itu, kantin terbabit diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Kelantan selama 14 hari.

 

“Buat masa ini, dapur kantin disita dan pengusahanya tidak dibenarkan berniaga sehinggalah siasatan selesai.

 

“Buat sementara waktu, kita menyediakan bekalan makanan kepada murid-murid dengan bekalan makanan darurat dari SK Long Ghafar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.