Tuduhan Dr Mahathir RM42 Bilion Hilang Jelas Tidak Berasas

KUALA LUMPUR – Hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke atas 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) mengesahkan tuduhan salah laku terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui kempen anti-Najib oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah ti­dak berasas.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, perkara itu terbukti apabila dakwaan yang dibuat Dr. Mahathir bahawa RM42 bilion hilang daripada 1MDB sebenarnya tidak berlaku.

 

“Mereka mungkin mempunyai strategi perniagaan yang lemah, tetapi tidak ada bukti yang menunjukkan berlakunya perbuatan jenayah.

 

“Jadi ia jelas memperlihatkan bahawa kempen Dr. Mahathir untuk menukar kerajaan di luar pilihan raya umum, dengan mendakwa wujudnya salah laku di 1MDB (tuduhan RM42 bilion hilang) telah gagal,” katanya dalam satu kenya­taan di sini semalam.

 

Malah, beliau berkata, 1MDB te­lah berjaya melakukan rasionalisasi, kerana aset 1MDB adalah lebih besar daripada liabilitinya.

 

“Keadaan itu berbeza dengan Proton yang memerlukan jaminan kerajaan kira-kira RM2 bilion untuk meneruskan operasinya. Ironi­nya ialah walaupun beliau (Dr. Mahathir) telah membuat tuduhan palsu bahawa 1MDB sedang menghadapi masalah kewangan, yang sebenarnya sedang berhadapan dengan situasi tersebut adalah Proton di bawah kepemimpinan beliau jika kerajaan tidak memilih untuk menyelamatkannya.

 

“Dr. Mahathir dan mereka yang bersekongkol dalam kempen anti-Najib harus bertanggungjawab kera­na telah menjejaskan reputasi negara,” ujarnya.

 

Dalam nada sama, Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkata, menerusi audit yang dibuat terhadap 1MDB, jelas me­nunjukkan tidak berlaku salah guna dananya.

 

“Jika berlaku salah guna dana, pasti ia dapat dikesan melalui audit yang dibuat oleh PAC, namun apa yang mereka (Dr. Mahathir serta pembangkang) fitnah itu sebenar­nya tidak wujud.

 

“Oleh itu, saya minta jangan cuba mempolitikkan isu ini kerana ia hanya memberi gambaran yang buruk kepada pemimpin dan negara,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.