Sultan Ibrahim Cadang Skop Tanggungjawab JMF Diperluas

JOHOR BAHARU – Sultan Johor Sultan Ibrahim mencadangkan agar skop tanggungjawab pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) diperluas agar dapat memberi khidmat menyeluruh kepada masyarakat di negeri ini.

 

Menurut baginda, tanggungjawab pasukan JMF itu boleh diperluas bukan sekadar menjaga kawasan Istana semata-mata tetapi juga boleh diberi tanggungjawab mengawal semua kawasan pentadbiran kerajaan negeri seperti di Kota Iskandar dan semua pejabat-pejabat daerah.

 

“Bukankah lebih baik jika kita letakkan tanggungjawab menjaga keselamatan kawasan kita kepada anggota keselamatan kita sendiri berbanding syarikat swasta yang menggajikan pekerja asing? Saya harap (Datuk Seri) Menteri Besar (Mohamed Khaled Nordin) dapat menilai perkara ini,” titah baginda pada majlis perasmian kem baharu pasukan JMF di sini hari ini.

 

Turut berangkat ke majlis itu ialah Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris.

 

Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada pemimpin kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri masa kini yang telah memberikan perhatian yang lebih kepada pasukan JMF dengan meluluskan penambahan anggota dan skim gaji yang sewajarnya.

 

“Saya menyeru agar kerajaan (negeri) supaya terus membantu pasukan JMF ini dalam usaha untuk memperkemas organisasi dan urusan pentadbirannya serta menambah lagi bilangan anggota agar mereka dapat memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan kepada negeri dan masyarakat.

 

Selain itu, baginda turut mengingatkan anggota pasukan JMF agar mempunyai tahap disiplin yang tinggi pada setiap masa dan di mana juga berada, selain terus meningkatkan kemahiran ketenteraan, mempunyai ilmu keagamaan yang tinggi dan mengamalkan cara hidup Islam yang sempurna.

 

“Tanamkan sikap taat setia dan semangat setiakawan yang tinggi dalam pasukan, serta menjaga hubungan silaturrahim yang muhibah antara satu sama lain,” titah baginda.

 

Pembinaan kem baharu JMF yang merupakan seluas 20.8 hektar itu terbahagi kepada beberapa fasa dan pembinaannya telah dimulakan sejak Julai 2012.

 

Selain terdapat 328 unit kediaman pegawai dan anggota JMF, terdapat juga pejabat pentadbiran serta kemudahan lain seperti masjid, dewan serbaguna dan kemudahan sukan.

 

Turut hadir ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.