Rafizi Didakwa Tiga Pertuduhan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan memiliki dan mendedahkan dokumen rahsia rasmi tanpa kebenaran, dua minggu lalu.

 

Mohd Rafizi bagaimana pun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan sebentar tadi.

 

Beliau didakwa ada dalam milikannya halaman 98 Laporan Pengauditan 1MDB tanpa kebenaran sah serta tidak berhak menyimpannya.

 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lobi Bangunan Parlimen, jam 3 petang pada 24 Mac lepas.

 

Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Pandan itu didakwa mendedahkan kandungan halaman itu dalam satu sidang media tanpa kebenaran sah.

 

Perbuatan itu dilakukan di lobi Parlimen jam 3 petang pada 28 Mac lepas.

 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Abazafree Mohd Abbas mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) dan (iv) Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

 

Jika sabit kesalahan, Mohd Rafizi bakal berdepan dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

 

Hakim, Zulqarnain Hassan membenarkan Mohd Rafizi dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin setelah membenarkan permohonan pendakwaan dan pembelaan yang bersetuju dengan jumlah tersebut.

 

Mahkamah menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.

 

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Mohd Rafizi mengaku tidak bersalah menyiarkan tomahan terhadap Tabung Haji, dua bulan lalu.

 

Mohd Rafizi didakwa menyiarkan tomahan itu di www.rafizi.com di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak, Dang Wangi pada 18 Februari 2016.

 

Majistret, Majistret Mohd Rehan Mohd Aris membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama untuk pengurusan kes.

 

Pada 5 April lalu, Mohd Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan ditahan di luar Parlimen jam 6.20 petang untuk disiasat berhubung kaitan 1 Malaysia Developmen Berhad (1MDB)  dengan LTAT di sidang media pada 28 Mac lepas.

 

Beliau mendakwa, kaitan itu mungkin menjejaskan keupayaan LTAT untuk membayar pampasan atau gratuiti kepada veteran tentera yang telah bersara.

 

Menurutnya, pendedahan tersebut terpaksa dibuat berikutan LTAT tidak berterus terang menjawab dakwaannya.

 

Rafizi sebelum ini mendakwa menerima aduan daripada pesara tentera  yang didakwa masih belum dibayar caruman meskipun selepas enam bulan tamat perkhidmatan mereka.

 

Beliau berkata, 12,000 pesara tentera terlibat sejak tahun 2014 dan menuntut Ketua Eksekutif LTAT Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin meletakkan jawatan daripada lembaga itu kerana didakwa mempunyai konflik kepentingan.

 

Lodin dilapor turut memegang  jawatan sebagai pengerusi 1MDB.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.