Rafizi Didakwa Tiga Pertuduhan Termasuk Memfitnah Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret hari ini, atas tiga tuduhan termasuk memiliki dan mendedahkan dokumen rahsia berhubung Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta memfitnah Lembaga Tabung Haji.

 

Rafizi mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di depan Hakim Zulqarnain Hassan dan Majistret Mohd Rehan Mohd Aris.

 

Di Mahkamah Sesyen, dia didakwa memiliki dan mendedahkan Laporan Pengauditan 1MDB, masing-masing mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) dan Seksyen 8(1)(c)(iv) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

 

Di Mahkamah Majistret, Rafizi didakwa menyiarkan tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji di laman web www.rafiziramli.com mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas manakala Rafizi diwakili peguam bela R Sivarasa.

 

Mahkamah membenarkan Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR itu diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi semua tuduhan, sebelum menetapkan 29 April ini untuk pengurusan kes. – KLPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.