Muhamad Azafean Diumum Undang Luak Jelebu

JELEBU – Pengarah urusan sebuah syarikat swasta, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, 39, hari ini diisytiharkan sebagai Undang Luak Jelebu yang baharu.

 

Majlis pengisytiharan itu dibuat di Balai Undang Luak Jelebu di Kuala Klawang dekat sini sebentar tadi.

 

Pengisytiharan itu dibuat oleh Dato’ Menteri Sah Mangku Raja Sehari, Datuk Tarmizi Selamat pada majlis yang turut dihadiri tujuh daripada lapan Dato Lembaga adat Luak Jelebu.

 

Jawatan Undang Luak Jelebu kosong selepas kemangkatan penyandangnya, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Musa Wahab, 77, pada 11 September 2014.

 

Dalam struktur pemerintahan beraja di Negeri Sembilan, institusi Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mempunyai fungsi kuasa secara mutlak di luak masing-masing.

 

Undang Yang Empat adalah bertanggungjawab melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bagi menaiki takhta menggantikan baginda Yang di-Pertuan Besar yang mangkat.

 

Fungsi berkenaan diperjelaskan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan iaitu Undang Yang Empat (Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin) adalah pemerintah (The Rulers) bagi Negeri Sembilan bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.