Liverpool Hampir Malukan Dortmund

DORTMUND – Liverpool yang dikendali Jurgen Klopp meraih satu gol di tempat lawan ketika kepulangan penuh emosinya ke Borussia Dortmund pada aksi suku akhir pertama Liga Europa yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1, awal pagi tadi.

 

Kelebihan The Reds yang meledak gol hasil penyudah Divock Origi dipadam oleh tandukan padu kapten Dortmund, Mats Hummels.

 

“Kini kami memiliki kelebihan untuk aksi suku akhir tetapi kami masih merasakan bahawa kami belum lagi layak ke separuh akhir,” kata Klopp.

 

“Semuanya boleh bertukar menjadi buruk tetapi pada pandangan saya, itu adalah keputusan yang baik. Kami mendahului permainan dan menunjukkan kemampuan kami.”

 

Dortmund bermula garang apabila memiliki dua peluang pada 30 minit pertama permainan menerusi Marco Reus dan Henrikh Mkhitaryan namun kegagalan mereka menyudahkan peluang dihukum pelawat yang meledak menerusi jaringan Divock Origi pada minit ke-36.

 

Dortmund kemudiannya membawa masuk Nuri Sahin pada separuh masa kedua dan mereka mengikat kedudukan tiga minit selepas babak kedua bersambung selepas Hummels menanduk masuk hantaran silang Mkhitaryan bagi gol penyamaan.

 

Namun, kecekapan penjaga gol Dortmund, Roman Weidenfeller menafikan peluang Liverpool untuk menambah jaringan.

 

“Begitu mudah kami menghadiahkan gol di tempat lawan kepada mereka namun kami masih lagi berpeluang untuk mara ke peringkat seterusnya,” kata Hummels.

 

“Kami ke sini untuk menang dan kami beraksi dengan baik,” kata pertahanan Liverpool, Emre Can.

 

“Seri 1-1 keputusan yang bagus namun peluang untuk mara tetap 50-50,” katanya. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.