Hutan Berhampiran Bukit Rangin Terbakar

KUANTAN – Cuaca panas dan kering menyebabkan 10 hektar hutan berhampiran Bukit Rangin, di sini, terbakar petang tadi.

 

Kebakaran itu dikesan bermula dari puncak bukit berkenaan kira-kira jam 5 petang sebelum merebak ke bahagian tengah dan kaki bukit.

 

Ketua Balai Bomba Indera Mahkota Timbalan Penguasa Bomba Mat Hussin Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.16 petang.

 

Katanya, sebanyak tiga jentera termasuk satu jentera dari Balai Bomba Kuantan dengan kekuatan 25 anggota segera ke kawasan berkenaan.

 

“Kita dapat mengawal api kira-kira tiga jam kemudian dan api di bahagian tengah dan kaki bukit berjaya dipadamkan, namun berdepan kesukaran untuk memadamkan api di puncak bukit.

 

“Jumlah keseluruhan kawasan yang terjejas adalah 10 hektar dan berdasarkan pemerhatian, api di bahagian puncak sudah semakin mengecil dan kita akan terus melakukan kerja memadamkan kebakaran bagi memastikan api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

 

Katanya, pihaknya akan membuat pemantauan berterusan berikutan jarak bukit berkenaan ke taman perumahan berhampiran hanya kira-kira 500 meter.

 

“Jika kebakaran tercetus kembali, kita bimbang api akan merebak ke kawasan perumahan, justeru kita akan terus memantau tempat kejadian,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.