Tuan Ibrahim Minta Laman Facebook Hantu Tutup Akaun

Khuatir dengan kesan yang timbul akibat wujudnya apa yang digelar Facebook hantu, seorang lagi pemimpin kanan PAS hari ini tampil ke depan mendesak laman sosial yang tidak dikenali siapa tuannya itu ditutup, kerana ia hanya memecah belahkan ahli parti.

 

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menamakan dengan khusus laman Facebook milik Tuc Tok Usin Ceroi yang katanya merosakkan hubungan sesama ahli PAS dan mengajak orang ramai mendekati dosa dengan membuka ruang fitnah dan keraguan di kalangan mereka.

 

“Anda cuba membeza-bezakan di antara sesama ahli PAS,” katanya yang mencadangkan pemilik laman itu agar menutup akaunnya menjelang muktamar tahunan PAS ke-61 yang akan berlangsung Jun ini.

 

Katanya, tulisan dalam Facebook Tuc Tok Usin Ceroi itu mengakibatkan banyak ‘hati yang pecah’, ramai ahli PAS yang menaruh buruk sangka sesama sendiri dan keluarga yang rosak perhubungan mereka.

 

“Oleh itu, di sini saya nasihatkan agar anda tutuplah akaun anda. Atau buatlah apa yang anda suka, kerana yang menanti kita di akhir adalah kematian,” kata Tuan Ibrahim menerusi laman Facebook miliknya.

 

Sebelum ini, AJK PAS Pusat, Datuk Mujahid Yusof mendakwa laman Facebook tanpa tuan tersebut menjadi antara punca PAS berpecah kerana ia menyerang dan melaga-lagakan pimpinan PAS.

 

Beliau menamakan laman El-Haraki, Tuc Tok Usin Ceroi dan juga Keli Laut sebagai antara laman Facebook hantu tersebut.

 

Ketiga-tiga laman itu katanya banyak menyerang pimpinan PAS dengan berselindung di sebalik nama kepimpinan ulama dan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Laman itu dipercayai mempunyai kaitan antara satu sama lain dan sesetengah pihak mendakwa ia didalangi orang atau kumpulan yang sama.

 

Facebook El-Haraki dilihat menyerang secara langsung kumpulan Erdogan dalam PAS sementara Tok Usin pula pergi lebih terperinci dengan melabelkan pimpinan PAS yang kononnya tidak bersama ulama, sebagai ‘jebon.’

 

Mangsa terbaru Tok Usin ialah Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang didakwanya cuba melindungi Timbalan Presiden PAS Mohamed Sabu dari disiasat susulan satu ‘pendedahan audio’ rancangan untuk menjatuhkan Hadi sebagai presiden PAS.

 

Keli Laut pula menjadikan PAS kawasan Selayang sebagai medannya dengan menyerang Yang Dipertua PAS kawasan itu, Zaidy Talib dan ketua pemudanya Fauzan Mazlan, menjelang mesyuarat agung Pemuda PAS Selayang Sabtu lepas.

 

Bagaimanapun, Fauzan berjaya mempertahannkan jawatannya dan kini Zaidy pula diserang dengan pelbagai tuduhan, termasuk memberikan projek kerajaan negeri kepada sebuah syarikat yang ada kaitan dengannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.