SPR Beri Bayangan Dua PRK Serentak

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menolak kemungkinan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Permatang Pauh dan Rompin, diadakan serentak.

 

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, namun semuanya bergantung kepada  keputusan yang akan diumumkan  dalam mesyuarat khas SPR yang akan diadakan pada Jumaat ini.

 

“Kemungkinan sangat besar untuk diadakan serentak.

 

“…tetapi kena tunggu Jumaat ini,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan tarikh PRK Permatang Pauh di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Abdul Aziz berkata PRK Permatang Pauh merupakan PRK pertama diadakan atas sabitan mahkamah.

 

“Pengalaman saya, sabitan mahkamah dan rayuan lembaga pengampunan, inilah yang pertama.

 

“Sebab sebelum ini hanyalah disebabkan kematian dan letak jawatan,” katanya.

 

Kerusi Parlimen Permatang Pauh diumumkan kosong secara rasmi pada 16 Mac 2015 lalu selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan yang dikemukan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

 

Manakala PRK Rompin pula perlu diadakan berikutan kematian Ahli Parlimennya, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terlibat dalam nahas helikopter di Semenyih, Sabtu lalu. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.