Semua Bahagian 
Helikopter Malang Sudah Dijumpai

HULU LANGAT – Semua bahagian helikopter AS365N2 Dauphin yang terhempas di Kampung Sungai Pening, Semenyih berjaya dijumpai dan dikeluarkan untuk kerja-kerja penyiasatan.

 

Bahagian utama iaitu enjin A te­lah dikeluarkan semalam manakala enjin B, kotak gear serta semua serpihan helikopter pula dibawa keluar lewat petang ini.

 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, bagaimanapun pasukan penyiasat tidak akan menghentikan operasi sebaliknya menunggu sehingga esok untuk kerja-kerja memperhalusi kawasan nahas.

 

Katanya, pasukan penyiasat akan melakukan siasatan rapi bagi memastikan tiada serpihan atau bahan bukti nahas tertinggal di situ.

 

“Operasi tidak dihentikan lagi sebaliknya menunggu esok untuk kerja-kerja terakhir bagi memastikan tiada satu pun serpihan helikopter itu tertinggal.

 

“Sepanjang tiga hari misi itu berlangsung, semua bahagian dapat dikesan dan dikeluarkan. Kita akan tetap melakukan kuarantin di lokasi berkenaan untuk memastikan tiada pencemaran berlaku sehingga operasi ini berakhir,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

 

Sehingga pukul 5 petang ini, kerja-kerja membawa serpihan helikopter terakhir selesai dan sebanyak tiga lori digunakan untuk membawa serpihan itu untuk dianalisis di Pangkalan Udara Sungai Besi manakala enjin serta kotak gear pula dibawa oleh dua buah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Ditanya tentang kotak hitam, Tiong Lai menjelaskan, terdapat sebab-sebab tertentu peralatan terbabit dibawa ke United Kingdom (UK) untuk dianalisis dan bukannya di Indonesia.

 

“Kotak hitam helikopter ini mempunyai data yang bercampur dengan data suara dan perlu analisisnya di Biro Penyiasatan Udara (AIB) UK. Model ini juga dibina di Perancis,” ujarnya yang memberitahu kotak hitam MH17 turut dihantar kepada agensi serupa.

 

Tambah beliau, pihak penyiasat akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk mengeluarkan data daripada kotak hitam itu dan beberapa hari lagi untuk membuat analisis.

 

“Oleh demikian kita akan meng­ambil masa sekurang-kurangnya sebulan sebelum memperoleh la­poran awal berhubung nahas tersebut,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.