NGO Mohon Agong Campur Tangan, Pekerja Dihalang Solat Jumaat

Satu NGO pro-pekerja memohon agar Yang di-Pertuan Agong dapat membantu sekumpulan pekerja asing beragama Islam yang didakwa dihalang daripada menunaikan solat Jumaat.

 

Presiden NGO Kebajikan Global Keselamatan Manusia Malaysia T Kamalanathan berkata, pihaknya menerima 22 aduan berhubung kejadian seperti itu.

 

Kamalanathan berkata, ia melibatkan kumpulan pekerja dari India, Pakistan dan Bangladesh yang tidak diberikan kelepasan bagi tujuan itu.

 

Malah, ada di kalangan pekerja itu dibuang kerja dan dipukul kerana meminta untuk ke masjid untuk solat Jumaat.

 

“Terdapat banyak perselisihan faham. Seorang pekerja ditampar oleh majikannya dan yang lain dimarahi dengan teruk sekali sehingga mereka memutuskan untuk berhenti kerja,” katanya.

 

Menurutnya, para majikan tersebut antara lainnya memberi alasan bahawa pekerja tempatan juga tidak dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat.

 

Menurut Kamalanathan, aduan seperti itu diterima sejak dua tahun lalu dan mereka melaporkan perkara itu kepada polis dan juga ke Jabatan Buruh.

 

Malangnya, kedua-dua pihak berkuasa tersebut enggan menyiasat kerana kes tersebut tidak termasuk dalam bidang kuasa mereka, dakwanya.

 

Beliau berharap dengan memorandum ini, Jabatan Buruh akan diberikan kuasa untuk menyiasat aduan seperti ini di masa hadapan.

 

“Saya harap Yang di-Pertuan Agong dapat mengambil tindakan agar pekerja asing beragama Islam dapat menunaikan sembahyang Jumaat setiap minggu,” katanya.

 

Memorandum berkenaan diserahkan ke pejabat sekretariat Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, semalam. -Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.