Ibu Sirul Jumpa Tun M Di Putrajaya

Putrajaya – Setelah beberapa kali menyentuh soal kes pembunuhan Altantunya Shaariibuu di dalam tulisannya, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menerima kunjungan daripada Piah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mak Long Piah yang juga ibu kepada Sirul Azhar di pejabatnya, hari ini.

 

Kunjungan tersebut turut disertai oleh bapa saudara kepada Sirul, Dato’ Paduka Khairuddin Abu Hassan dan juga YB Dato’ Mahfuz Omar.

 

Difahamkan banyak perkara dan rahsia sebenar telah diceritakan sendiri oleh ibu dan bapa saudara Sirul kepada Tun M.

 

Piah Ahmad telah merayu dan memohon jasa baik Tun M untuk menyelamatkan anaknya daripada hukuman gantung dan tetap dengan pendiriannya mempertahankan bahawa Sirul hanyalah kambing hitam serta menjadi mangsa keadaan.

 

“Sirul telah menerima arahan dari pihak atasan dan teraniaya dalam isu ini….” katanya.

 

Sirul, 43, yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati setelah didapati bersalah membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney, Australia selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan Polis Antarabangsa, Interpol.

 

Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu menjatuhkan hukuman kepada Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Sirul kerana membunuh wanita berusia 28 tahun itu pada 2006.

 

Bagaimanapun, Sirul tidak hadir ketika keputusan itu dibacakan dan satu laporan berita mengesahkannya sudah berlepas ke Australia pada Oktober lalu.

 

Keterangan di mahkamah mendedahkan Altantuya, seorang penterjemah dari Mongolia dibunuh sebelum mayatnya diletupkan menggunakan bahan letupan C4 di pinggir Shah Alam, berhampiran Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.