Ibu Anak Tiga Mengaku Salah Jual Ketum

KOTA BHARU –  Seorang wanita tiga anak mengaku salah atas tiga tuduhan memiliki ketum di mahkamah majistret, di sini, semalam.

 

Hukuman terhadap tertuduh, Nik Haslira Nik Him, 35, bagaimanapun ditangguhkan bagi mendapatkan laporan kimia berat sebenar dadah berkenaan.

 

Tertuduh didakwa memiliki dadah berkenaan di sebuah rumah di alamat Kampung Panchor, Jalan Sabak Panchor, di sini, pada jam 11.10 malam, 29 Mac lalu.

 

Pada tuduhan pertama, dia didakwa memiliki lapan kilogram daun ketum; kedua, tiga liter cecair ketum dan 150 mililiter pada tuduhan ketiga.

 

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Syahrun Nizam Mohd Misan mencadangkan  jaminan RM18,000 terhadap tertuduh, namun tertuduh melalui peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan merayu supaya mengurangkan jumlah itu.

 

“Tertuduh mempunyai anak kecil daripada usia 4, 8 dan 11 tahun serta tidak bekerja. Perbelanjaan mereka sekeluarga ditanggung suaminya,” katanya.

 

Selepas penelitian maksimum, Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM11,000 dengan seorang penjamin.

 

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 2 Jun depan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.