Hoki: Misi Gegar India

Ipoh – Kegagalan meledak gol pada dua perlawanan pertama, mendorong penyerang prolifik negara Faizal Saari untuk memecah kebuntuan itu apabila bertemu India pada perlawanan ketiga saingan Piala Sultan Azlan Shah, hari ini.

 

Tidak seperti kebiasaan apabila sering menyumbang gol untuk skuad negara, Faizal yang menyertai kem latihan skuad negara pada saat akhir, dilihat masih bergelut dengan prestasi dan mencari sentuhan terbaiknya.

 

Dua perlawanan awal ketika bertemu New Zealand serta Australia menyaksikan aksinya agak tenggelam, tetapi kehadirannya tetap memberi impak kepada skuad negara.

 

“Sebenarnya sudah lama saya tidak beraksi perlawanan antarabangsa. Saya harap semua pihak memahami situasi saya ketika ini.

 

“Saya akan cuba buktikan dengan aksi lebih baik ketika bertemu India nanti. “Yang penting, saya perlu dapatkan semula prestasi terbaik.

 

Kalau ada peluang menjaringkan gol, saya akan manfaatkan peluang itu sebaik mungkin,” katanya. Mengulas pertemuan menentang India, Faizal berkata, sukar untuk menjangkakan taktikal lawan mereka itu.

 

“Tugas saya selaku pemain adalah membaca corak permainan mereka.

 

“Kita masih tidak dapat mengutip mata lagi. Harap-harap pertemuan dengan India nanti membolehkan kita mendapat mata,” katanya. Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.