Guru Terpedaya Cinta ‘Mat Saleh’, Rugi RM130,000

KUALA LUMPUR – Gara-gara jatuh cinta dengan ketampanan seorang lelaki ‘mat saleh’ yang baru dikenalinya, seorang guru wanita kerugian RM130,000 selepas ditipu lelaki itu.

 

Hubungan mereka bermula di laman sosial Facebook dua bulan lalu, sebelum suspek yang menyamar diri, mahu meminjam wang kononnya kerana masalah kewangan.

 

Guru berusia 42 tahun itu kemudian memasukkan wang secara berperingkat kepada suspek warga Nigeria yang berusia 36 tahun menggunakan akaun milik warga tempatan.

 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, suspek turut berjanji akan memulangkan wang berkenaan dengan bayaran sekali ganda menggunakan mata wang Dolar Amerika.

 

“Mangsa yang berasal dari Kuantan, Pahang, kemudian berjumpa suspek di sebuah hotel di Jalan Perak, di sini, pada 4 April lalu, kira-kira jam 2 petang untuk menuntut semula wang dipinjam.

 

“Namun berlaku perselisihan faham apabila mangsa meragui ketulenan wang bernilai AS$100 yang diberi suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, semalam.

 

Menurut Zainol, suspek kemudiannya ditahan dan hasil pemeriksaan ke atas bagasi, terdapat 71 bungkusan wang bernilai AS$100 berjumlah AS$22,100 (RM80,216) disyaki palsu.

 

Katanya, polis turut merampas sebiji botol kaca dipercayai mengandungi bahan kimia yang digunakan suspek ke atas wang palsu tersebut selain dua helai penutup hidung.

 

“Suspek kemudiannya direman selama empat hari sehingga 8 April (hari ini), bagi membantu siasatan. Rekod mendapati suspek baru tiba di Malaysia tujuh hari lalu.

 

“Namun, berdasarkan rekod sebelum ini, suspek pernah mengunjungi negara ini beberapa tahun lalu,” katanya.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 489 (c) Kanun Keseksaan kerana memiliki wang palsu. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.