Gerakan Sokong Kepimpinan PM

Kuala Lumpur – Gerakan menyokong sepenuhnya kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Presiden parti itu Datuk Mah Siew Keong.

 

Beliau turut menyeru semua pihak dan masyarakat supaya memberi sokongan padu kepada Najib kerana beliau merupakan individu terbaik dalam memimpin negara.

 

Katanya, rakyat Malaysia juga perlu yakin dengan kepimpinan Najib bagi memastikan negara terus kekal pada haluan pembangunan untuk menjadi sebuah negara yang maju dan mencapai Wawasan 2020.

 

“Saya yakin akan kepimpinan perdana menteri kerana beliau membawa banyak transformasi yang positif kepada negara kita. Beliau berusaha kuat tanpa mengenal penat lelah untuk memajukan negara biarpun berdepan dengan landskap politik yang banyak berubah sepanjang 10 tahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kenyataan beliau itu berikutan kritikan terhadap Najib berhubung beberapa isu oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

 

Beliau berkata ia tidak menjadi masalah walaupun masing-masing berbeza pandangan, dan sebarang pandangan dan kritikan seharusnya dikongsi secara tertutup.

 

Mah yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kemunculan media sosial dan pengundi dengan permintaan yang lebih tinggi memaparkan satu set cabaran yang baharu kepada Najib dan beliau mencuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik.

 

Beliau berkata perdana menteri juga komited kepada pemikiran dan semangat Barisan Nasional (BN).

 

“Bagi Gerakan (sebagai parti komponen BN), biarpun kami mengalami kekecewaan, Datuk Seri Najib terus menyokong inisiatif dan pandangan kami.

 

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak supaya kekal komited kepada BN dan menyokong beliau yang juga merupakan pengerusi BN,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.