Aksi Cium: Johan Tak Kisah Apa Orang Cakap

Tindakan pelawak, pelakon dan penyampai radio popular Johan mencium bibir isterinya, Ozlynn Wati di khalayak ramai ketika namanya diumumkan sebagai pemenang Penyampai Radio Lelaki Popular pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2014) Ahad lalu mencetuskan pelbagai reaksi daripada penonton.

 

Aksi pasangan itu juga sempat dirakamkan individu tertentu yang kemudiannya berkongsi gambar berkenaan di laman sosial.

 

Walaupun ia mungkin berlaku secara spontan, ramai berpendapat tindakan Johan dan isteri­nya kurang sopan kerana dilakukan di khalayak ramai.

 

Ikuti penjelasan Johan atau nama sebenarnya Muhammad Yazid Lim, 31, kepada wartawan RAP, Michelle Gun selain turut berkongsi rahsia kejayaannya dalam industri seni tanah air.

 

RAP: Adakah tindakan Johan mengucup bibir isteri secara spontan atau sengaja dilakukan?

 

JOHAN: Isteri orang pertama yang saya ingin berkongsi kejayaan ini kerana dia sentiasa berada di sisi saya. Jadi, kucupan itu sebagai tanda penghargaan kepada isteri.

 

RAP: Ada segelintir yang berpendapat tindakan anda itu menjeng­kelkan serta keterlaluan dan mengikut budaya barat.

 

JOHAN: Saya tidak kisah apa orang cakap. Susah kalau mahu memuaskan hati semua orang dan lebih baik jaga hati isteri dan anak. Ozlynn isteri saya dan saya tidak melihat tindakan itu sebagai masalah.

 

Lainlah jika kami belum berkahwin dan dia bukan isteri saya.

 

RAP: Bagaimana perasaan anda apabila sekali lagi menang anugerah pada ABPBH 2014?

 

JOHAN: Kemenangan ini membuatkan saya rasa dihargai dan mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang sentiasa mengikuti perkembangan kerjaya seni saya. Dengan itu, saya ingin berkongsi kemenangan ini bersama peminat di atas usaha mereka.

 

RAP: Boleh kongsi rahsia kejayaan anda?

 

JOHAN: Resipi untuk mencapai kejayaan adalah jangan meninggalkan solat kerana ia wajib bagi setiap umat Islam.

 

Dalam kesibukkan mencari rezeki untuk menyara keluarga, saya pastikan untuk menunaikan solat. Kerja dan agama perlu diseimbangkan agar kita sentiasa diberikan berkat. Selain itu, saya juga menitik berat amalan bersedekah termasuk kerja kebajikan demi kesejahteran hidup semua.

 

RAP: Apakah tip rumah tangga bahagia anda?

 

JOHAN: Amalan yang diikuti saya dan isteri adalah tidak mengungkit perkara lampau. Sekiranya suami dan isteri membuka balik kisah silam, ia pasti diungkit semula apabila berlaku pergaduhan.

 

Saya dan isteri lebih gemar merancang masa depan demi kebaikan kami sekeluarga. Isteri dan anak paling bermakna dalam hidup saya dan tanpa mereka, saya mungkin tidak akan berada di pencapaian sekarang.

 

RAP: Apa lagi yang anda inginkan dalam karier seni anda?

 

JOHAN: Saya mahu memperbaiki lagi mutu persembahan dan penyampaian. Pada masa sama, saya juga tidak kisah kalau mendapat apa sahaja tawaran termasuk menyanyi kerana menganggapnya sebagai rezeki. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.