15 Polis Mexico Mati Diserang Hendap

Guadalajara (Mexico) – Sekurang-kurangnya 15 pegawai polis terbunuh dalam serangan hendap kumpulan penjenayah di barat negara ini, kata pegawai hari ini.

 

Kejadian itu berlaku sehari selepas serangan terhadap pihak berkuasa di wilayah Jalisco.

 

Lima lagi pegawai mengalami kecederaan dalam serangan berkenaan pada petang semalam di lebuh raya dekat perkampungan Soyatan ketika konvoi membawa unit polis elit dalam perjalanan ke bandar kedua terbesar di Mexico, Guadalajara.

 

“Mereka terkorban dalam serangan pengecut itu dan bermakna kami tidak boleh berdiam diri saja,”kata Pesuruhjaya Keselamatan Wilayah Jalisco, Francisco Alejandro Solorio Arechiga.

 

“Seramai 15 rakan kami terkorban. Lima lagi pegawai cedera dalam kejadian malang ini tapi mereka semua dalam keadaan stabil,” katanya.

 

Pihak berkuasa berkata, serangan hendap berkenaan sebagai membalas dendam terhadap suspek kumpulan itu dalam siasatan kes cubaan membunuh Solorio pada 30 Mac lalu.

 

“Serangan ini adalah perbuatan jenayah terancang selepas serangan dibuat terhadap saya,” kata Solorio.

 

Pihak berkuasa belum dapat mengenalpasti kumpulan mana tetapi sumber memberitahu, serangan terbabit dilakukan ketua baharu kartel dadah di Jalisco.

 

Sementara itu, dalam serangan hendap sebelum ini, lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah polis di bandar Ocotlan pada 19 Mac lalu menyebabkan 11 orang mati termasuk lima pegawai polis, tiga suspek dan tiga orang awam. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.