Isu Penculikan Pulau Semporna, Kit Siang Hanya Pandai Cakap

Seorang aktivis masyarakat dan hak asasi manusia mencadangkan agar Penasihat DAP Lim Kit Siang dan anggota Parlimen lain ‘turun padang’ sebaik persidangan Dewan Rakyat kali ini berakhir bagi melihat sendiri keunikan masalah dan keadaan keselamatan di pulau-pulau peranginan di Semporna.

Culik Sabah

Datuk Patrick Sindu berkata ini penting bagi membuktikan kepada rakyat Sabah bahawa mereka benar-benar jujur bekerjasama untuk mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap masalah pencerobohan termasuk jenayah rentas sempadan khususnya di kawasan perairan Semporna.

“Kita tidak mahu pemimpin yang pandai bercakap atau mengkritik dari jauh tetapi tiada niat pun untuk menyelami masalah yang dihadapi pasukan keselamatan kita dan seterusnya menyumbang buah fikiran ke arah penyelesaian berkekalan terhadap masalah pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.

“Sebagai pemimpin berjiwa rakyat, anggota Parlimen termasuk pengerusi DAP Sabah dan anggota Parlimen Sandakan perlu tunjukkan kejujuran, ketulusan hati dengan segera turun padang ke Semporna dan bukan setakat pandai mengkritik atau mempolitikkan isu keselamatan…rakyat Sabah menanti kehadiran mereka ke pulau-pulau di Semporna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Patrick turut menyarankan anggota Dewan Undangan Negeri Sabah yang belum berkesempatan melawat Semporna supaya berbuat demikian seboleh-bolehnya sebelum sesi soal jawab dan bahas persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah yang bermula Isnin depan.

“Isu pencerobohan pengganas Sulu dan penculikan merupakan ancaman utama keselamatan rakyat Sabah, kita berharap wakil rakyat menyelami isu ini dalam perspektif yang luas sebelum membahaskannya secara rasional pada persidangan DUN Sabah yang akan datang.

“Kes penculikan yang terbaharu di Singamata resort Semporna memberi pengajaran kepada kita semua terutama Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang bertanggungjawab menyelaras operasi pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dan balai polis daerah,” kata Patrick.

Dalam kejadian penculikan kira-kira 10.30 malam itu, seorang pelancong wanita rakyat China dan seorang pekerja pusat peranginan itu rakyat Filipina dilapor diculik itu oleh sekumpulan tujuh lelaki bersenjata.

Wanita China yang juga seorang pelajar itu dikenali sebagai Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai manakala pekerja wanita Filipina berusia 40 tahun itu dikenali sebagai Marcy Dayawan atau Mimi.

Patrick berkata keselamatan adalah tanggungjawab bersama dan bukan diletakkan sepenuhnya kepada anggota pasukan keselamatan.

“Tentu sekali, insiden di Singamata Resort menarik perhatian ramai kerana resort ini tidak jauh dari pekan Semporna iaitu hanya mengambil masa antara lima atau 10 minit perjalanan menggunakan bot dari pangkalan polis Marin Semporna di bawah pengawasan ibu pejabat polis daerah Semporna.

“Oleh kerana penculik itu serba mengetahui kawasan perairan semporna, maka ada keperluan pelbagai agensi penguatkuasaan lain termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran, Jabatan Kastam dan Pasukan Petugas Khas Sabah untuk memperhebat operasi mereka khususnya di perairan Semporna,

Esszone merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau, dan daerah-daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!