Empat Pemandu Bot Pelancong Ditahan Kerana Dadah

BESUT – Empat pemandu bot pelancong yang beroperasi dari Kuala Besut ke Pulau Perhentian ditahan bersama 254 biji pil dipercayai dadah di pulau berkenaan dalam Ops Tapis yang berakhir Sabtu lepas.

Pemangku Ketua Polis Besut DSP Noorzainy Mohd Noor berkata kesemua pemandu bot pelancong itu ditangkap dalam beberapa serbuan di beberapa lokasi di Pulau Perhentian Besar dan Kecil dalam operasi bermula Jumaat.

Katanya dalam serbuan pertama pada Jumaat di sebuah chalet seorang pemandu bot pelancong diberkas bersama 64 biji dipercayai dadah jenis methamphetamine (pil kuda).

“Dalam serbuan kelmarin pula di sebuah bilik chalet di Pasir Panjang, Pulau Perhentian Kecil, polis memberkas tiga lelaki dan merampas sebanyak 190 pil juga dipercayai pil kuda menjadikan keseluruhan 254 biji dirampas.

“Turut dirampas di situ sebanyak dua botol serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin,” katanya.

Noorzainy berkata kesemua mereka ditahan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya dalam operasi membabitkan seorang pegawai dan sembilan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah itu turut memberkas seorang suspek yang mempunyai waran tangkap kerana positif dadah sebelum ini.

Katanya dalam operasi sama seramai enam orang lagi juga terdiri daripada pemandu bot pelancong di situ ditahan selepas saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah.

“Kesemua mereka yang diberkas termasuk empat pengedar itu berusia antara 22 hingga 47 tahun dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.