Tak Masuk Akal Tuntut MCA Bela Lim Guan Eng Dalam Isu ‘Isytihar Perang’ – Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menyifatkan tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mempersoalkan partinya (MCA) tidak membela selepas mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan adalah suatu yang tidak masuk akal.

Ka Siong berkata, ini kerana tindakan itu tidak selari dengan perjuangan partinya yang menolak politik kebencian dan adu bomba.

“‘MCA kenapa tak bela saya?’ Ini soalan tidak masuk akal yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan. Kalau buat kenyataan mengisytiharkan ‘perang’, takkan MCA nak mempertahankan kenyataan berbaur perkauman?

“MCA mengamalkan politik matang dan tidak berminat untuk terperangkap dengan politik kebencian atau mengadu domba,” katanya menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng menempelak partinya kerana bersungguh-sungguh menyerang kerajaan dan juga dirinya, tetapi bersikap sebaliknya terhadap ‘rakan’ mereka, UMNO dan Pas.

Semalam, menerusi portal Malaysiakini, Guan Eng menyifatkan kerjasama di antara UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.

Walau bagaimanapun, kenyataan itu diubah daripada ‘pengisytiharan perang’ kepada ‘menyasarkan’.

Ka Siong turut mengingatkan agar beliau berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan serta menegaskan bahawa dasar MCA adalah untuk memperjuangkan kepentingan semua kaum di Malaysia.

“Guan Eng, mulut jangan celopar lagi. Hari ini dan sampai bila-bila pun saya masih dengan pendirian sama bahawa saya bukan hanya memperjuangkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) tetapi juga sekolah pondok dan tahfiz.

“Saya cabar Guan Eng agar tunjukkan bukti masa dan tarikh, saya selaku Presiden MCA pernah membantah peruntukan kepada sekolah tahfiz di Dewan Rakyat atau di mana-mana tempat,” tegasnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.