31 Rumah Rosak Teruk Akibat Ribut Di Yan

Sebanyak 31 buah rumah di beberapa buah kampung di Yan rosak teruk akibat dilanda ribut petang tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Yan, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.15 petang menyebabkan beberapa buah rumah, pada sebahagian strukturnya ranap dengan keseluruhan bumbung diterbangkan angin.

Katanya, antara kampung yang terlibat adalah Kampung Bukit Besar, Kampung Haji Hashim Gelam, Kampung Batu 11, Kampung Alor Pinggu, Kampung Haji Lateh dan kawasan Sungai Limau Dalam.

” Kita menerima maklumat kira- kira pukul 7.30 malam dan seramai 15 anggota bergegas ke lokasi untuk membantu mangsa serta mengalihkan pokok yang tumbang, ” katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.

Setakat ini, jumlah mangsa yang terlibat ialah seramai 186 orang, namun tiada laporan kecederaan setakat ini.

Sementara itu, seorang mangsa, Bashiroh Hashim, 48, berkata, kejadian ribut mengakibatkan banyak rumah di kampungnya di Kampung Alor Pinggu rosak teruk apabila bumbung diterbangkan angin ke kawasan sawah berhampiran.

Ketika kejadian, Bashiroh sedang makan petang bersama suaminya sebelum dikejutkan dengan angin kuat yang merosakkan sebahagian bumbung.

“Ribut seperti pusaran angin itu turut meranapkan bangsal kambing di belakang rumah,” katanya ketika dihubungi.

Turut terjejas teruk rumah ibu mertuanya yang terletak bersebelahan rumahnya apabila keseluruhan bumbung diterbangkan ke kawasan sawah berdekatan.

Katanya, kejadian ini pertama kali berlaku sejak dia menetap di kampung itu kira-kira lima tahun lalu.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.