Rakan Strategik Boleh Bantu PROTON Bersaing Di Pasaran Antarabangsa

KUALA LUMPUR – Kerjasama Proton Holdings Bhd (PROTON) dengan rakan strategik asing dilihat mampu memaksimumkan kapasiti pembuatan di kedua-dua kilang pengeluar kereta nasional itu.

Ia sekali gus membolehkan PROTON bersaing secara lebih efektif di pasaran serantau dan global. Perkongsian berkenaan juga akan membolehkan PROTON bersaing dengan pengeluar kereta terkemuka seperti Honda, Toyota dan sebagainya.

Pengarah Institut Penyelidikan Perbankan dan Kewangan Asia, Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata PROTON tidak mempunyai pilihan selain melakukan satu anjakan paradigma dari segi pengurusan syarikat.

Katanya, ia disebabkan populasi negara ini yang terhad kepada 30 juta orang, tidak dapat memberi skala ekonomi untuk pengeluar kereta nasional itu bersaing di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, menerusi usaha sama dengan rakan strategik asing (FSP), PROTON bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran dan jumlah jualan, malah turut mampu mengembangkan bahagian pasarannya.

“Sudah tiba masanya PROTON perlu mencari rakan kongsi supaya mereka boleh bersama-sama membina kapasiti dan tidak bergantung kepada kerajaan pada masa hadapan,” katanya dalam temu bual, hari ini.

Bahagian pasaran PROTON jatuh mendadak kepada hanya 14 peratus kini berbanding 63-64 peratus pada tahun 1990-an.

Irwan, yang juga Pensyarah Jabatan Ekonomi, Universiti Utara Malaysia, berkata usaha sama itu juga memberikan kelebihan kepada FSP yang berhasrat untuk menjadikan kilang PROTON sebagai pangkalan bagi menembusi pasaran ASEAN.

Ini bakal menguntungkan PROTON menerusi pemindahan teknologi yang memberi nilai tambah kepada vendor-vendor tempatan dari segi kepakaran pengurusan jurutera tempatan.

“Kita mungkin boleh mempelajari kemahiran pengurusan dan budaya kerja mereka. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan produktiviti Proton pada masa hadapan,” katanya.

Dalam jangka panjang, Irwan berkata usaha sama PROTON-FSP dilihat mampu menyelamatkan ekosistem vendor PROTON memandangkan permintaan bagi komponen kenderaan syarikat itu susut dengan ketara, susulan jumlah jualan yang terlalu rendah berbanding sasaran.

“Jadi, kalau kita tidak ada usaha sama dengan FSP, kemungkinan operasi vendor ini akan terhenti kerana sasaran jualan yang telah pun ditetapkan tidak tercapai.

“FSP akan menambah pelaburan dalam Proton, meningkatkan aktiviti vendor PROTON, serta menjana pekerjaan,” katanya.

Irwan berkata sekiranya kapasiti kilang PROTON di Tanjung Malim dan Shah Alam disatukan, pengeluaran akan meningkat kepada 400,000 unit.

Ini sekali gus membolehkan PROTON meneroka pasaran lebih luas seperti yang terdapat dalam Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) membabitkan jumlah penduduk lebih daripada tiga bilion. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.