Drama Cinderella Bakal Difilemkan

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah terkenal, Ahmad Idham, berkata, drama bersiri, Cinderella, bakal difilemkan tahun ini.

Menurut Idham, reaksi positif ditunjukkan peminat terhadap sekeping gambarnya bersama pelakon utama wanita drama terbabit, Haliza Misbun, di laman Instagramnya memberikan idea untuk menghasilkan filem dari drama yang pernah mencetuskan fenomena satu ketika dahulu, lapor BH.

Katanya, penangan gambar tersebut telah mengembalikan semula ingatan penonton terhadap naskhah yang kini mencecah usia 20 tahun itu.

“Baru-baru ini saya ada memuat naik gambar bersama Haliza. Tak sangka pula gambar itu disukai pengikut dan mendapat seribu komen.

“Menerusi komen yang diberikan pula, rata-rata mereka kembali bernostalgia ketika zaman drama itu disiarkan. Reaksi positif itu memberikan saya idea untuk memindahkan drama itu ke layar perak. Ia juga bersesuaian dengan sambutan ulang tahun ke-20 drama terbabit,” katanya.

Memandangkan drama berkenaan ialah hasil cetusan idea penerbit terkenal, Mohd Noor Kadir, Idham mengharapkan insan sama dapat menghasilkan skrip filem itu nanti.

“Banyak dialog puitis dalam drama terbabit ialah hasil tulisan Mohd Noor dan saya berharap beliau sudi untuk menghasilkan skrip filem ini.

“Menerusi filem itu nanti, penonton akan dapat melihat apakah yang berlaku terhadap perkahwinan Salman dan Nurul. Siapa anak-anak mereka dan apakah yang terjadi terhadap perniagaan mereka sepanjang 20 tahun?” ujarnya yang kini sibuk menjalani penggambaran filem Pencuri Hati Mr Cinderella.

Selain dirinya dan Haliza, Idham turut bercadang mengekalkan empat pelakon lain bagi membintangi filem berkenaan. Drama 24 episod siaran TV3 itu turut menampilkan lakonan hebat Riezman Khuzaimi, Amyza Aznan, Khaty Azean, Zizie Ezzette, Abu Bakar Omar dan Azizah Mahzan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.