Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembebasan dilakukan menerusi rundingan yang panjang kerana melibatkan nyawa.

 

“Usaha membebaskan Zakia sukar kerana beliau diserahkan dari satu kumpulan ke satu kumpulan penculik lain, mungkin bertukar tangan sehingga kepada empat kumpulan.

 

“Saya mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas pembebasan beliau serta pihak-pihak lain yang meng­usahakan pelbagai cara membantu pembebasan beliau,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen UMNO negeri di Stadium Indera Mulia di sini.

 

Ahmad Zahid mengesahkan beliau mendapat maklumat Zakia dibebaskan pada pukul 7.15 pagi ini.

 

Menurut beliau, penculikan anggota polis marin itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga mengarahkan usaha membebaskan Zakia memandangkan kes berlaku terlalu lama iaitu pada Julai lalu.

 

Katanya, beliau sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri bagaimana keadaan anggota yang diculik itu diletakkan di sebuah pondok beratap rumbia di tengah-tengah hutan di kawasan pedalaman Filipina.

 

“Dengan pembebasan ini, saya berharap anggota berkenaan akan beristiqamah. Mudah-mudahan kejadian ini menjadi pengajaran kepada semua anggota polis supaya sentiasa berhati-hati kerana ‘jerat tidak pernah lupakan pelanduk’,” katanya.

 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, ekoran kejadian tersebut, anggota berkenaan akan ditukar ke unit lain.

 

Kata beliau, pakar psikologi juga akan dihantar untuk menenangkan Zakia yang sudah tentunya trauma setelah melalui pengalaman diculik sejak Julai lalu.

 

“Kita akan mendapatkan nasihat pakar psikologi sebelum membenarkan anggota berkenaan kembali bertugas,” katanya. – Utusan