600 Hadir Majlis Memperingati MH370

KUALA LUMPUR – Kira-kira 600 kakitangan termasuk ahli keluarga Malaysia Airlines (MAS) berkumpul dalam satu pertemuan tertutup bagi memperingati tragedi kehilangan pesawat MH370 yang hari ini genap setahun kehilangannya.

 

Perjumpaan sempena majlis Memperingati MH370 yang bermula kira-kira pukul 10 pagi tadi itu diadakan di Akademi MAS, Kelana Jaya, dekat sini.

 

Majlis itu dihadiri Pengerusi MAS, Tan Sri Md. Nor Yusof: Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya dan lembaga pengarah syarikat penerbangan itu.

 

Menurut Md. Nor, pertemuan itu adalah untuk memperingati memori dan menghormati kesemua penumpang termasuk 13 kakitangan yang hilang dalam tragedi tersebut.

 

“Hari ini kita menerima realiti terhadap kehilangan 13 rakan yang meninggalkan kita sejak MH370 hilang setahun lalu.

 

“Kita akan sentiasa merindui dan tidak akan melupakan mereka. Mereka akan sentiasa berada di hati kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pesawat MH370 yang membawa 239 orang termasuk 13 anak kapal itu hilang daripada radar kurang sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada 8 Mac tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.