Parti Lawan Masih Berbalah, Terbukti Cuma BN Stabil Dan Bermuafakat – Zahid

KUALA LUMPUR – Parti lawan Barisan Nasional (BN) sehingga hari ini masih kekalutan, haru-biru, kacau-bilau sehingga perihal siapa kerjasama dengan siapa, “poster boy” dan penggunaan logo masih berbalah.

Hal demikian kata Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berdasarkan pengalaman lalu, satu-satunya gabungan politik yang terbukti berupaya membawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara hanyalah BN.

“Sudah terang lagi bersuluh BN adalah sebuah gabungan politik paling stabil dan bermuafakat untuk mentadbir negara ini dulu, kini dan selamanya.

“Kestabilan telah pun dikembalikan di Melaka pada PRN November lalu dan kini peluang Bangsa Johor melakukan keberanian yang sama,” katanya pada Selasa.

Beliau yang juga Presiden UMNO mengimbau kronologi perjalanan politik tanah air dengan berkata, sebilangan rakyat pernah bereksperimen menyerahkan pentadbiran negara kepada kerajaan 22 bulan, tetapi terbukti ia akhirnya mengundang kegagalan dan ketidakstabilan.

“Gagal dan tidak stabil dalam banyak perkara ekonomi, pendidikan, kesihatan, pembangunan, perdagangan sehingga mengundang kesusahan bertimpa-timpa kepada rakyat.

“Kemudian negara mencuba sebuah kerajaan gabungan wakil rakyat pelbagai parti politik selama 17 bulan juga mengundang ketidakstabilan yang memeritkan,” ujarnya.

Terbukti dengan jelas Malaysia serta rakyatnya mendambahkan sebuah kestabilan yang jitu kerana tanpa kestabilan negara jadi gagal, tidak lagi makmur dan sentosa,” kata Zahid.

Jelas beliau, kestabilan berlaku apabila negara ditadbir oleh sebuah gabungan politik yang mutlak dan dominan seperti yang kita semua pernah nikmati sebelum peristiwa hitam 9 Mei 2018 melanda.

“Paling derita akibat implikasi buruk ketidakstabilan adalah rakyat, justeru rakyatlah paling berhak diberi kuasa untuk mengembalikan dan menentukan kestabilan negara mengikut lunas yang sah.

“Mengembalikan kestabilan harus bersandarkan pengajaran lalu kerana pengalaman sepatutnya mendewasakan insan. Baik jadikan teladan, buruk jadikan sempadan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob