CCTV: Model Belanda Diusung Sebelum Ditemui Mati Bogel

Usaha keluarga model Belanda untuk mencari “kebenaran” mengenai misteri kematian gadis berusia 18 tahun itu yang maut selepas dikatakan terjatuh di sebuah kondominium di Kuala Lumpur, dalam keadaan berbogel pada Disember tahun lalu mungkin mempunyai peluang cerah apabila peguam mereka mendedahkan penemuan baharu.

Portal NL Times melaporkan, Sebas Diekstra, peguam yang diupah oleh ibu bapa Ivana Esther Robert Smit bagi membantu merungkai apa sebenarnya yang berlaku kepada anak mereka mendakwa mangsa diusung keluar dari sebuah kelab malam di Kuala Lumpur oleh seorang lelaki sebelum ditemui meninggal dunia.

Menurut laporan portal tersebut semalam, Sebas mendakwa terdapat rakaman video yang menunjukkan mangsa diusung oleh seorang lelaki dikenali sebagai Alexander Johnson.

Bagaimanapun, peguam berkenaan menerusi kemaskini di laman Twitternya hanya memuat naik gambar paparan skrin yang dipercayai diambil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), bertarikh 7 Disember 2017, kira-kira jam 5.22 pagi.

“Rakaman kamera yag muncul menunjukkan Ivana di sebuah kelab di Malaysia beberapa jam sebelum ditemui mati.

“Rakaman itu menunjukkan warga Amerika Syarikat (AS) Alexander Johnson mengusung model Belanda berusia 18 tahun itu keluar dari kelab,” lapor NL Times memetik status di laman Twitter Sebas, semalam.

Pada pagi 7 Disember, Ivana ditemui di balkoni tingkat 6 CapSquare Residences di Jalan Dang Wangi selepas dikatakan terjatuh melalui tingkap dari unit kondominium di tingkat 20.

Media melaporkan Ivana dipercayai berada di apartmen dengan pasangan, seorang lelaki warganegara AS, Alexander William Johnson, 44, dan isterinya dari Kazakhstan, Lunara Almazkyzy, 30, selepas menghabiskan masa bersama.

Bagaimanapun ketika disoal siasat oleh polis sama ada pasangan tersebut tahu mengenai kejadian, Johnson mendakwa dia tidur antara jam 10 pagi dan 3 petang, sementara isterinya dilaporkan mendakwa menghantar anak perempuan mereka yang berusia empat tahun ke sekolah pada waktu pagi, lapor Mail Online, petik MD

Kes ini pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut tetapi siasatan dibuka semula berikutan tekanan daripada keluarga mangsa dan Kedutaan Belanda selepas mendakwa terdapat tanda dan lebam di leher Ivana yang kelihatan seperti “cap jari”, lapor media memetik portal berita Belanda, Algemeen Dagblad (AD).

NL Times menambah rakaman CCTV tersebut diperoleh oleh penyiasat persendirian, dan keluarga mangsa percaya bahawa pasangan suami isteri terbabit bertanggungjawab terhadap kematian Ivana.

“Bagaimana pasangan ini boleh bebas sedangkan terdapat banyak persoalan mengenai kematian Ivana. Inilah yang sebenarnya mengapa kami memanggil penyiasat persendirian. Dia menyambung (siasatan) yang mana pihak polis telah berhenti menyiasat,” kata jurucakap keluarga, Fred Agenjo.

Seorang lagi penyiasat persendirian yang diupah keluarga Ivana, Mark Williams-Thomas juga pada minggu ini membuat dakwaan bahawa kematian mangsa bukan suatu kemalangan.

“Saya tidak ragu lagi. Daripada bukti yang saya kumpul minggu ini dan maklumat forensik, kita boleh katakan dengan yakin … jika ini (kematian) di United Kingdom, ia akan dianggap kes bunuh,” katanya.

Ivana, seorang warga Belanda, membesar dan belajar di Pulau Pinang kerana dia berada di bawah jagaan neneknya sejak berumur 3 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!