Ahli Masjid Tengok Gelagat Pencuri

Kegiatan pecah tabung masjid nampaknya makin menjadi-jadi meskipun banyak laporan berita telah didedahkan mengenai kes tersebut, selain inisiatif diambil oleh pihak masjid dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi membendung insiden berkenaan berulang.

Setiap kali insiden berlaku dan CCTV kejadian didedahkan, apa yang berlaku adalah ramai masyarakat berasa sakit hati dengan sikap tidak bermoral si pencuri, sebaliknya lain pula kejadian yang berlaku di Masjid Jamek Sungai Puyu, Pulau Pinang.

Meskipun, rata-rata masih tetap marah dengan kejadian tersebut, namun celoteh Ahli Jawatankuasa Masjid tersebut mengulas detik-detik aksi si pencuri yang berusaha gigih memecah tabung masjid, disifatkan sangat menghiburkan.

Rakaman video berdurasi tiga minit dimuat naik di laman Facebook Penang Kini semalam memaparkan seorang lelaki kelihatan bergelut untuk memecahkan peti tabung masjid tersebut dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, semalam.

Melihat kepada gelagat si pencuri yang mundar-mandir, berbaring dan menggunakan pelbagai alatan untuk memecahkan tabung masjid, Ahli Jawatankuasa Masjid menjadikan kejadian itu sebagai sesuatu yang lucu dengan bertindak mengulas situasi tersebut seolah seperti ‘pengulas profesional’.

“Perhatian ya semua… ni kejadian kecurian di Masjid Sungai Puyu, semalam (7 Feb) pukul 12 tengah malam.

“Ni tengok… tengah operasi nak pecahkan atau kopek pintu cermin… aaa, mamak tadi (tengah terbaring), tuan-tuan tengok, dia ingat oqang masjid takde akai kot boh peti macam tu ja… Dia tak tau peti tu (ciri keselamatan yang tinggi),” kata salah seorang Ahli Jawatankuasa Masjid, sambil kedengaran mereka ketawa, lapor MD

“Bawak bom boh pun belum tentu pecah lagi (tabung masjid)…” tambahnya.

Difahamkan, si pencuri gagal dalam cubaan untuk memecahkan tabung masjid tersebut.

Bagaimanapun, segelintir netizen menasihatkan pihak masjid membuat laporan polis bagi mengesan individu terbabit.

Sehingga kini, rakaman tersebut mendapat tontonan lebih 108,000 kali sejak ia dimuat naik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.