Video: Lelaki Baling Telur Di Pejabat Digi Dakwa Pampasan Tidak Berbaloi

PETALING JAYA — Kejadian lelaki mengamuk dengan melemparkan beberapa biji telur di ibu pejabat syarikat telekomunikasi terkenal bulan lalu menggemparkan rakyat Malaysia.

 

Pelbagai reaksi diberikan pengguna media sosial, namun bagi si pelakunya Mohd Al Iman Zakaria, semuanya terselit seribu satu hikmah pada dirinya dan masyarakat sekeliling.

 

“Saya mendapat pampasan dengan apa yang terjadi. Apa yang berlaku itu ditolak, saya diberi pampasan.

 

“Jumlah pampasan itu tidak perlu saya sebutkan. Nanti ramai pergi baling telur [untuk] dapat duit. Susah nanti.

 

“Bagi saya pampasan itu memadai tetapi ia jauh daripada pengiraan salah yang dibuat,” katanya kepada ProjekMMO di pejabatnya baru-baru ini.

 

Awal bulan lalu, video Iman menjadi fokus apabila gelagatnya yang berang membaling beberapa biji telur di pejabat Digi di kawasan industri Subang dekat sini mengejutkan ramai.

 

Jururunding syarikat teknologi maklumat ini berkata apa yang dipaparkan itu bukanlah perwatakan sebenar beliau, namun kesabarannya sudah tidak dapat dibendung lagi.

 

“Sejak 2015 saya berdepan masalah panggilan terputus, bunyi bising dan rangkaian. Saya juga sukar menerima panggilan masuk.

 

“Sehari sebelumnya [kejadian] mereka putuskan talian. Jadi kalau Jumaat itu saya tidak ambil tindakan, saya akan bermasalah selama tiga hari.

 

“Selepas kali ketiga saya tidak dilayan, saya sudah ‘meletup’. Saya baling enam biji telur tetapi tiga biji lagi tidak dirakam dalam video.

 

“Jika orang kenal saya, saya bukan baran sangat, tetapi apabila tidak dilayan, itu sampai saya hilang suara,” katanya, sambil mengukir senyuman.

 

Iman berkata walau syarikat telekomunikasi terbabit sudah memberikan pampasan namun kerugian yang ditanggungnya lebih besar berbanding wang diterima.

 

Katanya, sebagai seorang ahli perniagaan masalah rangkaian memberi kesan terutamanya rundingan yang dibuat melalui telefon.

 

“Masih tidak berbaloi kerana saya marah ia membabitkan rangkaian. Saya berniaga, apabila orang telefon saya tidak dapat [panggilan], susahlah.

 

“Kerugian tidak langsung itu banyak. Apabila panggilan terputus sedang berurus niaga, saya telefon semula, mereka jadi marah walaupun saya jelaskan masalah saya.

 

“Kerugian secara tidak langsung lebih banyak daripada pampasan yang saya dapat,” katanya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.