SPRM Tahan Penjawat Awam Buat Tuntutan Palsu RM109,930

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pembantu tadbir yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Muar, Johor kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM109,930.

 

Menurut sumber, suspek wanita berusia 53 tahun itu dipercayai mengemukakan tuntutan bagi pembekalan barangan bukan ubat yang tidak dibekalkan bagi beberapa klinik kesihatan di daerah Muar pada hujung November 2015.

 

“Wanita itu ditahan di pejabat SPRM Johor cawangan Batu Pahat ketika hadir untuk memberikan keterangan kira-kira 3.30 petang semalam.

 

“Siasatan awal mendapati suspek juga disyaki bersubahat dengan seorang kontraktor yang meminjamkan lesen syarikatnya bagi membolehkan suspek mengemukakan tuntusan palsu itu,”katanya.

 

Menurutnya, hasil daripada tuntutan palsu yang dibuat, sebanyak RM93,440 sudah dimasukkan ke akaun simpanan wanita itu, manakala selebihnya dipercayai dibayar kepada kontraktor terbabit sebagai upah.

 

Wanita itu dijangka direman di Mahkamah Majistret Batu Pahat esok bagi membantu siasatan.

 

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi,” katanya.

 

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tetapi enggan mengulas lanjut. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.